EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman (kanan) dan Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel), Profesor Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman meninjau Kompleks Sukan sebelum merasmikan The Tomanz Tangkap dan Lepas di Unisel kampus Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 18 September 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Unisel Bestari Jaya bakal jadi pusat teknologi dron

BESTARI JAYA, 19 SEPT: Universiti Selangor (Unisel) kampus Bestari Jaya berpotensi untuk dibangunkan sebagai pusat teknologi dron berikutan memiliki ruang lapang.

Presiden dan naib canselornya berkata persetujuan dicapai bersama syarikat pembekal dron kedua terbesar dunia, Aeorodyne dan anak syarikat Kerajaan Negeri, Selati dalam usaha menjadikan universiti itu sebagai pusat berkenaan.

“Kawasan di sini tiada bukit, luas dan paling penting bukan laluan kapal terbang. Oleh itu, ia berpotensi untuk dimajukan teknologi dron.

Profesor Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Insya-Allah kalau berjaya, Unisel terdapat dalam peta dunia sebagai sebuah pusat berkaitan dan terkenal suatu hari nanti,” kata Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman pada majlis perasmian pertandingan memancing tangkap dan lepas ikan toman dan tasik The Tomanz di sini semalam.

Sementara itu, beliau berkata pengorekan sebuah tasik terbiar seluas 26.3 hektar dalam kampus terbabit akan menghidupkan semula kesuraman kawasan berkenaan tidak lama lagi.

“Kita telah menandatangani perjanjian dengan Semesta (Kumpulan Semesta Sdn Bhd) untuk membolehkan tasik di depan kampus ini dikorek.

“Insya-Allah, sebaik tatacara operasi piawai (SOP) fasa pelan pemulihan negara (PPN) dilonggarkan, projek itu akan berjalan dan menjadi satu kawasan rekreasi penting,” katanya.

Dr Mohammad Redzuan menambah kawasan itu juga akan berkembang maju susulan pembinaan projek perumahan dengan keluasan 40.5 hektar di luar kampus.

“Kawasan ini tidak lagi terpencil sebaliknya menjadi tarikan ramai, lebih-lebih lagi Lebuhraya Pantai Barat (WCE) akan dibuka. Malah, kita berunding dengan beberapa syarikat minyak untuk membina hentian rehat dan rawat (RNR) di pintu masuk (Unisel),” katanya.


Pengarang :