Air Selangor sedang menggiatkan usaha menghantar bantuan bekalan air kepada penduduk berikutan kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1). Foto Facebook Air Selangor
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Beberapa kawasan berdekatan LRA mula terima bekalan air

SHAH ALAM, 14 OKT: Beberapa kawasan berdekatan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor 1(SSP1) mula terima bekalan air jam 7 petang tadi.

Kawasan tersebut antaranya Tanjong Keramat, Taman Yayasan, Taman Assam Jawa, Taman Murni dan Jalan Kilang Padi atau Jalan Lengkongan dan Taman Seri Penambang.

Selain itu, Ijok Batu 4, Ijok Batu 7, Bukit Melawati dan Taman Alam. Bekalan air di beberapa kawasan wilayah Petaling juga pulih 80 peratus.

Air Selangor terus menggerakkan bantuan bekalan air dan mengagihkan botol air minuman lima liter kepada pengguna terlibat kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal di LRA SSP1.

“Pemulihan sepenuhnya bekalan air adalah pada jam 9 malam, 16 Oktober 2021.

“Status pemulihan kawasan yang terjejas, pili air awam serta stesen pengisian air komersial boleh didapati di pautan hentitugas.airselangor.com,” kata agensi itu menerusi Facebook.

Penyenggaraan aset kritikal sejak semalam melibatkan penduduk 998 kawasan di Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Dalam tempoh itu, sebanyak 105 lori tangki air digerakkan ke kawasan berkenaan selain 18 pili air awam disediakan mulai 14 hingga 16 Oktober demi kemudahan pengguna.


Pengarang :