Bangunan yang terdapat di kawasan perlombongan Bukit Besi menjadi tempat untuk mengeringkan bijih besi sebelum dibawa ke palabuhan untuk dieksport ke luar negara dengan menggunakan kereta api. Muzium Bukit Besi memaparkan sejarah perlombongan dan pembangunan sosioekonomi penduduk tempatan termasuk data wujudnya perkampungan antarabangsa sejak 1929. Bukit Besi adalah nadi pertumbuhan ekonomi yang penting dalam negara khususnya di Terengganu apabila sebuah syarikat dari Jepun, Kuhara Mining Limited diberi lesen oleh kerajaan negeri memulakan aktiviti perlombongan pada Mei 1930. Foto BERNAMA
BUDAYARENCANA

Bukit Besi bukan sekadar sejarah perlombongan, wujud perkampungan antarabangsa

DUNGUN, 16 OKT: Sejarah perlombongan di Bukit Besi bukan sahaja memaparkan memori peninggalan penjajah dalam sosioekonomi penduduk tempatan, tetapi juga bukti wujudnya perkampungan antarabangsa di negara ini sejak 1929.

Setiausaha Kehormat Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Dungun Wan Mohd Rosli Wan Ngah berkata pada era kegemilangannya, kawasan itu didiami warga British, Amerika, Kanada, Australia, Belanda, Jerman, Afrika Selatan, India dan China.

Katanya, tumpuan warga asing di situ menjadikan Bukit Besi dilengkapi pelbagai kemudahan moden termasuklah kolam renang pertama di Malaysia yang lengkap dengan papan anjal, dibina sekitar 1950-an.

Miniatur yang terdapat di Muzium Bukit Besi memaparkan aktiviti perlombongan bijih besi ketika itu dan menggunakan kereta api untuk membawa bijih besi ke pelabuhan untuk dieksport ke luar negara. Foto BERNAMA

“Bukit Besi adalah nadi pertumbuhan ekonomi yang penting dalam negara khususnya di Terengganu apabila sebuah syarikat dari Jepun, Kuhara Mining Limited diberi lesen oleh kerajaan negeri memulakan aktiviti perlombongan pada Mei 1930.

“Ia sentiasa beroperasi 24 jam dan penempatan pekerjanya dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk stesen keretapi, sekolah, balai polis, hospital dan pawagam. Ia berlaku ketika syarikat dari British, Eastern Mining Metal Company (Emmco) mengambil alih perlombongan bermula 1950. Ketika itu, Bukit Besi sangat terkenal setaraf Kuala Lumpur dan Singapura,” katanya kepada Bernama sempena pembukaan hari pertama Muzium Bukit Besi di sini, semalam.

Menurut Wan Mohd Rosli, menyedari kehebatan di sebalik sejarah kegemilangan industri perlombongan bijih besi itu, beliau bersama 130 ahli persatuan berusaha mengumpul pelbagai maklumat dan bukti agar dapat dijadikan rujukan pada masa akan datang.

Susulan itu, sebuah galeri perlombongan diwujudkan di pejabat Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) Cawangan Bukit Besi pada 2002.

“Sejak itu, usaha berterusan dilaksanakan hinggalah terbinanya Muzium Bukit Besi yang membolehkan pengunjung melihat gambar penduduk ketika itu dan peralatan melombong, malah ada juga data penduduk asing yang dilahirkan di situ.

“Sebab itulah, kita menjangkakan muzium ini bukan sahaja akan dikunjungi rakyat negara ini tetapi juga waris warga asing yang mempunyai nilai sentimental tersendiri dengan Bukit Besi. Malah sehingga kini ramai waris dari Kanada, Australia dan Amerika Syarikat sering datang ke sini untuk mengimbau semula kenangan manis ayah, ibu, datuk dan nenek mereka yang pernah bekerja di sini,” katanya.

Ketika ditanya mengenai cabaran mengumpulkan semua koleksi bersejarah di situ, beliau berkata pihaknya bukan sahaja perlu mencari semula bekas pekerja yang pernah tinggal di Bukit Besi tetapi juga berhubung dengan waris warga asing.

Tambahnya, sebahagian peralatan yang dipamerkan dibeli daripada pemilik asal dan waris, tetapi ada juga yang disumbangkan oleh waris warga asing dari Kanada dan Australia sebagai kenangan untuk diabadikan di muzium ini.

Setiausaha Kehormat Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Dungun Wan Mohd Rosli Wan Ngah (tiga, kiri) menerangkan kepada pengunjung mengenai aktiviti perlombongan bijih besi ketika ditemui di Muzium Bukit Besi. Foto BERNAMA

“Cuma, ada satu artifak yang masih kita usahakan iaitu keretapi lama yang digunakan di Bukit Besi. Agak sukar mahu mendapatkan keretapi yang sebenar untuk diletakkan di muzium ini. Ia adalah simbol kegemilangan dan kemajuan sektor pengangkutan darat hasil aktiviti perlombongan dari Bukit Besi ke pelabuhan di Dungun,” katanya.

Mengulas lanjut, Wan Mohd Rosli berkata pengunjung berpeluang masuk ke situ secara percuma sehingga satu tempoh yang akan ditetapkan kelak. Pengunjung juga akan didedahkan dengan lebih terperinci tentang pemprosesan bijih besi bermula dari kerja-kerja perlombongan hinggalah bahan mentah itu dieksport ke luar negara.

Sementara itu, beberapa pengunjung yang ditemui Bernama mengakui mereka teruja dapat melihat semula nostalgia kehidupan pada masa dahulu dan menghargai kesungguhan kerajaan yang komited membina muzium berkenaan.

Wan Mohamad Hazman Wan Ramli, 51 berkata muzium itu adalah bukti betapa tabahnya generasi terdahulu mengharungi liku-liku kehidupan meskipun terpaksa bekerja di bawah syarikat asing pascaperang dunia kedua ketika itu.

“Generasi sekarang terutama rakyat Terengganu perlu mengambil iktibar dan roh perjuangan nenek moyang mereka demi meneruskan kelangsungan hidup ke arah yang lebih baik,” katanya.

Bagi Fatimah Tambon, 67 yang pernah menetap di situ ketika suaminya bekerja di Bukit Besi, kewujudan muzium itu dapat mengembalikan kenangan manisnya kerana ia adalah penempatan yang sangat moden dan menjadi kebanggaan ramai ketika itu.

“Ia adalah titik permulaan kehidupan yang lebih berkualiti kerana syarikat perlombongan sangat menjaga kebajikan kami semua.

“Peluang menjadi sebahagian komuniti Bukit Besi secara tidak langsung mengubah kehidupan kami sekeluarga kerana lebih berfikiran positif dan berjiwa besar hasil asimilasi bersama penduduk dari pelbagai negara,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :