Selangorkini
EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Ir Izham Hashim (tengah) mendengar taklimat dari wakil pemaju ketika lawatan tapak projek Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) di Kampung Seri Cheeding, Kuala Langat pada 26 Oktober 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDA EXCO NASIONAL SELANGOR

Lebuhraya Persisiran Pantai Barat babit jajaran tertentu siap tahun depan

BANTING, 26 OKT: Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) membabitkan beberapa jajaran di Selangor siap hujung tahun hadapan, kata EXCO infrastruktur.

Ir Izham Hashim berkata bagaimanapun terdapat kelewatan pada jajaran Tanjong Karang ke Sabak Bernam sepanjang 10 kilometer ekoran masalah pemilikan tanah dan dijangka siap pada Disember 2024.

“Jajaran di Klang juga berdepan masalah milikan tanah tetapi November akan selesai jadi kita akan teruskan,” katanya selepas melawat tapak WCE di Kampung Seri Cheeding dekat sini hari ini.

WCE dibina sepanjang 233 kilometer menghubungkan Taiping, Perak dengan Banting membabitkan kos keseluruhan RM5.044 bilion.

Ia mempunyai 21 persimpangan dan turut dihubungkan dengan beberapa Lebuhraya Lembah Klang Selatan, Lebuhraya Baru Lembah Klang, Lebuhraya Utara Selatan, Lebuhraya Selat Klang Utara dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor.

Sementara itu Izham berkata laluan Seri Cheeding ke Rimbayu akan dinaik taraf bagi menghuraikan kesesakan trafik yang menghubungkan Kuala Langat dengan Shah Alam.

“Kita akan masukkan dalam bajet (belanjawan) selepas membuat penilaian kesan trafik kerana babit isu teknikal dan tanah. Jalan ini dah jadi jalan utama, kita mahu kurangkan tekanan dan beri keselesaan kepada pengguna,” katanya.


Pengarang :