Mohd Khairuddin Othman (empat, kanan) melancarkan program Hari Selangor Bersukan di padang paragliding Bukit Jugra, Banting pada 9 Oktober 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Negeri sumbang lebih RM700,000 rancak semula latihan atlet

BANTING, 9 OKT: Kerajaan Selangor menyumbangkan sebanyak RM720,700 bagi pembangunan sukan negeri termasuk persediaan memulakan kembali latihan atlet.

Inisiatif khas itu bakal memanfaatkan persatuan sukan, majlis sukan daerah, pegawai dan atlet Sukan Malaysia (SUKMA), kata EXCO pembangunan sukan.

Menurut Mohd Khairuddin Othman sebahagian bantuan dibelanjakan untuk elaun pegawai dan atlet manakala selebihnya bagi menambah baik fasiliti.

“Kita berharap bantuan ini meringankan impak ekonomi dan kewangan mereka yang terjejas susulan pandemik selain memastikan mereka terus berdaya saing,” katanya hari ini.

Beliau ditemui selepas melancarkan Hari Selangor Bersukan 2021 di padang paragliding Bukit Jugra yang turut dihadiri Orang Besar Daerah Kuala Langat Tengku Dato’ Mohamed Alhaj Tengku Harun.

Sementara itu, Mohd Khairuddin berkata Selangor bersedia menganjurkan SUKMA terhad kepada 16 acara wajib seperti bola sepak, renang, menembak dan memanah jika negeri lain tidak bersedia.

Jelasnya, fasiliti negeri berada dalam keadaan baik malah atlet giat berlatih mengikut model gelembung sukan untuk meningkatkan tahap fizikal.

“Sepatutnya Johor tetapi sehingga hari ini (mereka) belum buat pendirian untuk meneruskan atau tidak dan kita sedia sekiranya negeri lain tidak bersedia,” katanya.


Pengarang :