Aksi penerjun negara Nur Dhabitah Sabri ketika membuat terjunan yang sempurna dalam acara 3 meter papan anjal wanita individu peringkat akhir pada temasya Olimpik Tokyo 2020 di Pusat Akuatik Tokyo pada 1 Ogos 2021. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Nur Dhabitah tidak abai pelajaran walau aktif latihan sukan

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Atlet terjun negara Nur Dhabitah Sabri akan berusaha untuk menyeimbangkan aspek pembelajaran dan kerjaya selepas menyambung pengajian dalam jurusan Sarjana Muda Komunikasi Media di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor.

Biarpun dijangka berdepan jadual padat pada tahun depan, atlet berusia 22 tahun itu menjelaskan bahawa beliau akan berbincang bersama jurulatih dan pensyarah supaya tumpuannya dalam kedua-dua aspek itu tidak terjejas.

“Saya akan berbincang dengan jurulatih saya khususnya mengenai jadual kelas di UKM. Saya juga tidak mahu ketinggalan dalam pendidikan. Pada akhirnya, pendidikan adalah amat penting bagi saya,” katanya dalam sidang media secara maya selepas menghadiri Majlis Amanat Naib Canselor Minggu Mesra Mahasiswa UKM hari ini.

Nur Dhabitah dijadual mewakili negara dalam Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, United Kingdom, Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China serta beberapa kejohanan antarabangsa lain pada tahun depan.

Terdahulu, penerjun itu turut diberi penghormatan mengetuai bacaan ikrar baharu UKM bagi sesi akademik 2021/2022.

Nur Dhabitah berkata beliau mendaftar untuk melanjutkan pengajian di UKM menerusi sijil Pentauliahan Pembelajaran Berdasarkan Pengalaman Sebelumnya (APEL) yang mengambil kira pengalaman terdahulu seseorang individu.

Beliau yang menamatkan saingan dalam acara terjun papan anjal tiga meter (m) individu akhir di tempat keempat pada Sukan Olimpik Tokyo baru-baru ini, memilih UKM kerana yakin dengan persekitaran kondusif yang ditawarkan institusi pengajian tinggi itu.

-BERNAMA


Pengarang :