Penyelia KK Mart Seksyen 23, Md Emon sedang menyusun air mineral yang menerima permintaan tinggi berikutan kerja selenggara loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 1 ketika tinjauan SelangorKini di Seksyen 23, Shah Alam pada 13 Oktober 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Penduduk bersedia awal simpan air sejak minggu lalu

SHAH ALAM, 13 OKT: Rata-rata penduduk di kawasan terlibat dengan kerja penyelenggaraan aset kritikal loji rawatan Sungai Selangor Fasa 1 yang bermula hari ini sudah membuat persediaan awal sejak minggu lalu.

Kebanyakan penduduk menyimpan air selain turut membeli minuman botol bagi memastikan bekalan mencukupi sepanjang kerja dilakukan.

T Indrani, 64, berkata dia bersama suami menadah beberapa tong air selepas mendapat maklumat berkenaan kerja penambahbaikan aset Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

“Kami simpan dan beli air minuman untuk memasak awal kerana ia sangat penting dalam kehidupan. Walaupun tinggal berdua tetapi kena simpan banyak-banyak, setakat pagi tadi bekalan masih ada dan harap terus begitu,” katanya.

T Indrani. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Sementara itu penyelia kedai serbaneka 24 jam, KK Super Mart di Seksyen 23 Md Emon berkata majikan membuat persiapan awal selepas pengumuman Air Selangor bagi menampung permintaan tinggi orang ramai yang mula membeli air minuman sejak minggu lalu.

“Hari ini ada juga dua tiga individu datang beli air tetapi tidak ramai. Bekalan air masih banyak dan boleh tampung keperluan,” katanya.

Pekerja pasar raya Segi Fresh berkata bekalan air di premis itu sentiasa ada dan mencukupi untuk keperluan penduduk sepanjang henti tugas berjadual berlaku.

“Ramai dah beli minggu lepas. Kebanyakan yang beli air botol ini untuk tujuan memasak. Untuk mandi dan lain-lain mereka guna air yang ditadah,” katanya yang mahu dikenali sebagai Aisyah.

Bermula hari ini hingga Sabtu, kerja penyelenggaraan melibatkan penduduk 998 kawasan di Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Sebanyak 105 lori tangki air akan digerakkan ke kawasan berkenaan selain 18 pili air awam disediakan mulai 14 hingga 16 Oktober demi kemudahan pengguna sepanjang tempoh itu.

Kerajaan Selangor juga menggerakkan sukarelawan di peringkat DUN, Team Selangor, Selangor Volunteer (Serve), Penggerak Belia Selangor (PeBS) dan ketua kampung bagi membantu pengguna terlibat.

Senarai lengkap kawasan terlibat, pili air awam dan stesen pengisian air setempat boleh didapati di laman pautan http://hentitugas.airselangor.com .


Pengarang :