EXCO Kerajaan Negeri Rodziah Ismail memberi penerangan kepada penerima bantuan sebelum menyerahkan alatan ketika majlis penyerahan geran alatan Sitham Yayasan Hijrah Selangor di Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 11 Oktober 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Penternak lembu terkejut permohonan bantuan kali pertama mudah lulus

KUALA SELANGOR, 12 OKT: Seorang penternak lembu tidak menyangka permohonan bantuan pertamanya kepada Kerajaan Selangor mudah diluluskan.

M Visvaath, 51, berkata dia memohon mesin memproses makanan menerusi program Pembangunan Usahawan India Selangor (Sitham) beberapa bulan lalu dan kini sudah memiliki peralatan berkenaan.

“Jika diikutkan proses kelulusan cepat cuma mesin lambat tiba kerana kekangan ketika Covid-19, bagaimanapun saya amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima mesin berharga RM8,400 disampaikan EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail di Taman Raja Musa di sini semalam.

M Visvaanth. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Visvaath yang menjalankan perniagaan menjual daging serta susu sejak 30 tahun lalu berkata mesin berkenaan amat diperlukan kerana dia mempunyai 40 ekor lembu.

“Mesin sebelum ini hanya mampu menghasilkan makanan lembu sekitar 100 kilogram (kg) dan jumlah itu tidak mencukupi untuk menampung keperluan makanan lembu.

“Ia berbeza dengan mesin terbaharu ini kerana mampu menghasilkan lebih 300 kg makanan sehari,” katanya.

Sitham dilancarkan pada September 2019 memfokuskan usahawan India yang komited memajukan perniagaan dengan diberi bimbingan, geran dan peralatan perniagaan.

Empat program keusahawanan ditawarkan iaitu latihan pembangunan usahawan, kursus kemahiran dan pembuatan, program bimbingan perniagaan (Grow) serta program bantuan peralatan perniagaan (Geran).


Pengarang :