Selangorkini
Aksi pemain badminton perseorangan negara Lee Zii Jia ketika menentang pemain perseorangan Perancis, Brice Leverdez pada perlawanan peringkat kumpulan M pada temasya Olimpik Tokyo 2020 di Mushashino Sports Plaza pada 28 Julai 2021. Foto BERNAMA
AGENDA SUKANKINI

Piala Thomas: Zii Jia yakin mampu benam Kanada tapi tetap waspada

DENMARK, 11 OKT: Kapten skuad Piala Thomas Lee Zii Jia optimis pasukan negara yang turun beraksi menentang Kanada esok (awal pagi Rabu waktu Malaysia) mampu mencatatkan kemenangan sekali gus mencapai misi memburu slot ke suku akhir kejohanan berkenaan.

Juara All England yang juga perseorangan utama negara menaruh kepercayaan berdasarkan kekuatan perseorangan kedua dan ketiga Malaysia yang mampu mengatasi pemain Kanada pada aksi di Ceres Arena, di sini.

Selain Zii Jia, Malaysia turut menyenaraikan pemain muda seperti Ng Tze Yong, Cheam June Wei, Leong Jun Hao dan Aidil Sholeh Ali Sadikin dalam perseorangan lelaki.

Namun, sebagai perseorangan utama, pemain berusia 23 tahun itu mengakui cabaran besar menantinya apabila berdepan bintang muda berusia 19 tahun Brian Yang yang mendapat tonik selepas mencipta kejutan ke atas pemain di ranking ketujuh dunia dari Indonesia Jonatan Christie apabila menang 9-21, 22-20, 21-18 pada saingan Piala Sudirman.

Kejutan sekali lagi dilakukan Brian dalam aksi pertama Kumpulan D pada Ahad selepas pemain di ranking ke-39 dunia itu menewaskan pemain di ranking ke-13 Kanta Tsuneyama dari Jepun 1-18, 19-2121-13.

“Secara keseluruhan saya rasa dia pun seorang pemain yang melakukan serangan dan berada pada tahap keyakinan tinggi sebagai pemain baharu meningkat selepas menewaskan Jonatan. Tanpa sebarang tekanan, beliau akan lawan semua (pemain), ia memang akan menjadi cabaran buat saya,” katanya.

Ditanya mengenai pilihan utama untuk menjuarai kejohanan berprestij itu kali ini, pemain di ranking kelapan dunia itu memilih tuan rumah Denmark, Indonesia dan Jepun.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan D, hanya memerlukan kemenangan ke atas Kanada untuk mengesahkan tempat ke suku akhir selepas England menarik diri, bagaimanapun sekiranya mampu mengatasi Jepun pada Khamis untuk muncul juara kumpulan, laluan ke separuh akhir semakin mudah.

Sementara itu, jurulatih perseorangan lelaki negara Hendrawan berkata, beberapa pemain negara mungkin tidak mendapat peluang beraksi dalam saingan kali ini berikutan penarikan diri England, yang menyebabkan pihaknya tidak mahu mengambil risiko menurunkan pemain muda menentang Kanada.

“Kita hanya boleh membuat keputusan mengenai pemain yang bakal diturunkan pada hari pertandingan selepas meneliti tahap persiapan mereka dan semangat mereka kerana ia adalah perlawanan penting. Yang pasti, Zii Jia akan menggalas tanggungjawab sebagai perseorangan pertama.

“Atas kertas kita tiada masalah untuk mengatasi Kanada, namun tidak boleh ambil ringan, kita harus pamer aksi terbaik. Selepas perlawanan itu, baru kita akan reviu untuk aksi Jepun, tetapi yang pasti pemain terbaik dan paling bersedia akan beraksi,” jelasnya.

Jurulatih beregu lelaki, Flandy Limpele pula percaya anak buahnya mampu menghadiahkan dua mata menentang Kanada nanti, walaupun pihaknya belum membuat keputusan mengenai pilihan beregu kedua, selepas pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo Aaron Chia-Soh Wooi Yik hampir pasti diturunkan selaku beregu utama.

Dengan adanya gandingan pilihan Goh Sze Fei-Nur Izzudin Rumsani dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun serta pemain simpanan Low Hang Yee, Flandy berkata pihaknya akan merencanakan strategi terbaik, termasuk mencuba gandingan baharu.

“Buat masa ini, semua pemain berada dalam keadaan baik ketika latihan walaupun ada sedikit penat selepas tiba dari Piala Sudirman. Latihan sekarang saya lebih kepada mental, harus kuatkan hati…Saya mahu cari yang bersemangat juang tinggi sahaja,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :