Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Dato’ Mahmud Abbas bercakap kepada media selepas melafaskan Ikrar Integriti dan Anti Rasuah di hadapan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam majlis lafas ikrar dan kunjungan hormat di Pejabat Dato’ Menteri Besar, Shah Alam pada 4 Oktober 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

PKNS bantu naik taraf sosioekonomi usahawan mikro, teroka konsep digital

SHAH ALAM, 4 OKT: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bercadang membantu menaik taraf sosioekonomi usahawan mikro dengan beralih kepada konsep perniagaan pendigitalan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Dato’ Mahmud Abbas berkata beliau yakin langkah itu amat penting bagi memastikan kelangsungan perniagaan kecil pasca Covid-19.

“Usahawan kecil ini perlu maju dan tidak hanya berniaga setempat sebaliknya harus berusaha mengembangkan pasaran dengan berniaga melalui platform media sosial.

“Kita akan atur beberapa strategi dalam masa terdekat supaya mereka berkembang daripada ‘sekolah rendah’ sehingga berjaya ‘graduasi’, contohnya dari berniaga di gerai mampu berkembang memasarkan produk sehingga ke KLCC, Pavillion atau mungkin ke peringkat antarabangsa seperti Jepun,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Lafaz Ikrar Integriti dan Antirasuah di hadapan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Pejabat Dato’ Menteri Besar di sini hari ini.

Mahmud Abbas dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif baharu PKNS berkuat kuasa 1 Oktober bagi menggantikan penyandang terdahulu Siti Zubaidah Abd Jabar yang bersara pada 10 Ogos.

Beliau yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains dari Universiti Brighton juga pernah berkhidmat sebagai pengerusi Perbadanan Pembangunan Industri Halal dan pengarah urusan Central Spectrum Sdn Bhd.


Pengarang :