Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed (dua kiri) bersama Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) Tan Sri Mazlan Mansor (tengah) semasa gimik Pelancaran Inisiatif Prihatin Pelajar Yatim Piatu Covid-19 Negeri Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada 8 Okt 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Polis Selangor pantau kebajikan 29 pelajar jadi yatim akibat Covid-19

SHAH ALAM, 8 OKT: Polis Selangor akan membuat pemantauan setiap tiga bulan sekali terhadap 29 orang pelajar daripada 14 keluarga yang dikenal pasti menjadi yatim piatu akibat Covid-19 setakat ini; dari segi kebajikan, pendidikan dan sahsiah, bagi memastikan masa hadapan mereka terbela.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata Inisiatif Prihatin Pelajar Yatim Piatu Covid-19 itu turut mendapat kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, Lembaga Zakat Selangor, Yayasan Islam Darul Ehsan dan Majlis Hindu Sangam Selangor.

Beliau berkata pihak berkenaan akan bekerjasama dalam program ini dari aspek penyaluran maklumat, dana serta bantuan secara berterusan kepada penjaga dan pelajar-pelajar yatim piatu yang terlibat.

“Inisiatif ini boleh dianggap pendekatan telus Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi-agensi yang terbabit dalam usaha meningkatkan tadbir urus yang lebih baik serta memenuhi jangkaan serta harapan masyarakat terhadap kualiti penyampaian perkhidmatan,” katanya semasa melancarkan program itu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Katanya program ini memberikan fokus kepada isu berterusan ataupun kelangsungan hidup pelajar yatim piatu akibat Covid-19 agar masyarakat sedar mengenai kepentingan tanggungjawab semua pihak dalam usaha untuk menyantuni golongan ini.

Arjunaidi berkata sumbangan yang diberikan mereka hari ini adalah dalam bentuk wang tunai dan bakul makanan dari setiap jabatan dan persatuan yang terlibat dalam inisiatif berkenaan.

-BERNAMA


Pengarang :