Khir Rahman (kiri) di set penggambaran ketika mengarahkan sebuah drama adaptasi pada 26 November 2020. Foto Facebook Khir Rahman Al Baqi
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ramai susah akibat pandemik, Khir Rahman anggap tragedi buat anak seni

SHAH ALAM, 2 OKT: Pandemik Covid-19 memberi kesan kepada penggiat seni terutama kru produksi sehingga ada yang tidak mampu membayar sewa rumah.

Pengarah dan pelakon Khir Rahman berkata kehidupan kru atasan lebih terpelihara daripada sudut kewangan berbanding bawahan yang sekadar cukup makan.

“Kesukaran ini dapat dilihat apabila ada yang terpaksa keluar rumah membawa anak dan isteri kerana tidak mampu membayar sewa.

“Ini adalah tragedi yang mungkin tidak berlaku pada semua tetapi boleh dijadikan contoh untuk bersedia dalam banyak hal,” katanya pada program borak santai di Facebook Media Selangor malam tadi.

Pelakon filem Rock Oo! berkata penularan Covid-19 juga menyebabkan penghasilan sesebuah karya lebih terhad berbanding sebelum ini.

“Nasib baik dunia internet ini jauh, jangkauan pembacaan jauh dengan ilmu boleh dituntut walaupun terkongkong. Kita boleh menghasilkan karya yang baik cuma ada limitasi yang menjadi cabaran,” katanya.

Kerajaan melonggarkan semula tatacara operasi piawai (SOP) dalam semua fasa PPN bagi industri kreatif untuk individu lengkap vaksin mulai 9 September.

Kelonggaran itu memanfaatkan lebih 19,000 syarikat dengan mematuhi syarat berikut:

  • Pembangunan dan penyiaran kandungan kreatif secara rakaman atau siaran langsung
  • Penyiaran secara rakaman atau siaran langsung berbentuk penyampaian maklumat dan hiburan dengan kapasiti penonton 30 peratus
  • Penggambaran industri kreatif dalam dan luar studio
  • Busking dalaman
  • Persembahan di lounge hotel
  • Aktiviti panggung wayang dengan kapasiti 50 peratus di ruang dewan tayangan pawagam
  • Aktiviti persembahan langsung seperti seni teater, muzikal, muzik dan komedi (secara pradaftar) dengan kapasiti penonton 30 peratus
  • Aktiviti pameran seni di dewan pameran, muzium dan galeri seni (secara janji temu) dengan kapasiti pengunjung 30 peratus

Pengarang :