Selangorkini
Farah Ann menjadi gimnas artistik wanita pertama di negara ini yang layak ke Olimpik selepas 20 tahun. Foto Instagram Farah Ann Abdul Hadi
AGENDA SUKANKINI

Ratu gimnastik negara impi buka akademi sendiri

PUTRAJAYA, 9 OKT: Ratu gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi memasang impian untuk membuka akademi sendiri apabila bersara daripada dunia sukan itu satu hari nanti.

Farah Ann berkata pembukaan akademi itu merupakan sebahagian daripada rancangannya untuk memperkasakan bakat pada peringkat akar umbi dalam usaha memastikan negara tidak ketandusan pelapis bagi sukan gimnastik.

“Akademi Farah Ann itu merupakan satu daripada impian saya satu hari nanti, mungkin rancang tubuhkan dalam masa lima hingga 10 tahun dari sekarang.

“Selain daripada penubuhan sebuah akademi yang bagus, saya juga mahu menganjurkan program atau kem gimnastik buat kanak-kanak pada masa hadapan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2021, di sini hari ini.

Dalam pada itu, atlet berusia 27 tahun itu juga berminat untuk menjadi juri pertandingan mahupun menceburi bidang komunikasi selepas mengucapkan selamat tinggal kepada sukan kesayangannya itu.

Beliau pada masa sama memaklumkan banyak cabang yang boleh diterokai oleh para atlet sekiranya mereka bersara kelak seperti menjadi jurulatih bersama Majlis Sukan Negara ataupun bekerja bersama Institut Sukan Negara mahupun Kementerian Belia dan Sukan.

Sementara itu, mengulas mengenai peruntukan dana RM10 juta untuk menjayakan pelaksanaan Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan, Farah Ann memuji inisiatif kerajaan itu dalam menggalakkan wanita menceburi bidang sukan pada masa akan datang.

Atlet kelahiran Selangor itu juga percaya pelan berkenaan mampu mengangkat konsep kesamarataan bagi aspek jantina sehingga menyaksikan wanita turut serta memacu industri sukan negara.

Pelan yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada majlis perasmian sambutan HSN 2021 di sini, menggariskan objektif, strategi dan inisiatif yang terancang ke arah memperkasa penglibatan dan penyertaan wanita dalam pelbagai bidang sukan ke arah menjadikan pembangunan sukan negara yang lebih inklusif dan seimbang.

– BERNAMA


Pengarang :