Selangorkini
Keadaan kawasan dilanda fenomena air pasang besar di Pantai Kelanang, Kuala Langat pada 8 Oktober 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Air pasang: Jalan Klang-Teluk Intan FT05 dinaiki air satu meter

SHAH ALAM, 5 NOV: Jalan Klang-Teluk Intan FT05, Tanjong Karang dinaiki air setinggi satu meter berikutan fenomena air pasang besar kira-kira jam 5 pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Kuala Selangor Mohd Faizal Abdul Raji berkata bagaimanapun limpahan air tersebut tidak menjejaskan kawasan perumahan penduduk.

“Ia (air pasang) berlaku sekejap sahaja sebab ada longkang kecil berhampiran jalan berkenaan. Sehingga jam 9.50 pagi, air telah surut sepenuhnya.

“Kita bersyukur kerana tiada hujan, namun penduduk diingatkan agar sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga memandangkan fenomena air pasang besar diramal berlaku sehingga hujung minggu ini,” katanya ketika dihubungi Selangorkini.

Pegawai Daerah Kuala Selangor itu turut memaklumkan pihak berkuasa menjalankan pemantauan secara berkala di kawasan pesisiran pantai yang berpotensi dinaiki air antaranya Pantai Remis, Pantai Jeram, Sungai Janggut, Kuala Sungai Buloh dan Pasir Penambang.

Menurutnya, pemantauan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Bomba dan Penyelamat, polis serta unit bencana daerah bagi memastikan orang ramai tidak mengunjungi kawasan berkenaan.

“Aktiviti di pesisiran pantai masih tidak digalakkan ketika ini dan pengunjung perlu mematuhi arahan tersebut bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini.

Jabatan Meterologi meramalkan fenomena air pasang besar melanda Selangor selama empat hari bermula semalam di Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor.

Selain Selangor, fenomena itu dijangka melanda Kedah, Perak dan Johor dalam tempoh serta memburuk jika disertai angin kencang, ombak besar dan hujan lebat secara serentak.

Jalan Klang-Teluk Intan FT05, Tanjong Karang dinaiki air setinggi satu meter berikutan fenomena air pasang besar pada 5 November 2021. Foto Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor

Pengarang :