Anwar bersama Dr. Muhammad Nur Manuty (depan, dua dari kiri) pada majlis pelancaran memoir Jejak-Jejak Pencerahan Umat di Bangi, Selangor pada 23 November 2021. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

Anwar lancar memoir Jejak-Jejak Pencerahan Umat karya Dr Muhammad Nur Manuty

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pengkisahan dalam buku memoir Jejak-Jejak Pencerahan Umat tulisan Prof. Datuk Dr Muhammad Nur Manuty dapat memberikan kefahaman tentang erti perjuangan Islam.

Pengerusi Pakatan HARAPAN berkata memoir sahabatnya sejak dari dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) itu mengimbas sejarah dalam dunia dakwah, akademik dan politik.

Beliau berkata, sumbangan bekas Presiden ABIM itu amat besar dalam menggerakkan dakwah yang berpangkal pada asas ilmu dan ruh perjuangan.

“Jemaah yang berkembang sejak dari tahun 60-an sehingga sekarang nyata masih subur dengan ilmu dan akhlak.

“Saya sentiasa bersyukur kerana dikelilingi oleh mutiara dan para cendekiawan yang sentiasa menasihati dan tidak segan silu dalam mengkritik saya,” kata Anwar dalam Twitternya selepas melancarkan buku tersebut di Bangi semalam.

Hadir sama isterinya, Datin Seri Dr. Azizah Wan Ismail dan Presiden dan Naib Canselor Universiti Selangor, Prof Dato’ Dr Mohammed Redzwan Othman.

Anwar turut memberikan kata penghantar dalam buku setebal hampir 500 muka surat itu.

Buku memoir Jejak-Jejak Pencerahan Umat tulisan Dr. Muhammad Nur Manuty. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Memoir terbitan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah) itu merakamkan kisah perjalanan Muhammad Nur dalam bidang dakwah, pendidikan dan politik.

Ia berfokus kepada gagasan islah dan tajdid Islam yang marak di tanah air mulai dekad 70-an.

Penulis yang kini Presiden Kolej Dar al-Hikmah terlibat dalam proses tersebut setelah menerima pendidikan Islam formal dan tidak formal di dalam dan di luar negara.

Penulis aktif dalam PKPIM, ABIM dan Wadah, antara tiga gerakan dakwah penting yang telah memberi sumbangan bermakna dan tersendiri terhadap proses yang melahirkan fenomena ‘kebangkitan Islam’ di Malaysia.

Buku yang memuatkan 10 bab itu turut mengisahkan perjalanan penulis memperjuangkan nilai-nilai universalisme Islam menerusi jalur Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) yang bersifat majmuk bangsa dan agama.

Muhammad Nur, 72,  yang berasal dari Batu Kurau, Perak pernah menjadi calon KEADILAN pada Pilihan Raya Umum ke-13 di kerusi Parlimen Bagan Serai namun tewas tipis.

Beliau sebelum ini turut dipilih oleh Dewan Undangan Negeri Selangor bagi menjadi Senator dari 2015 hingga 2018.

Lulusan Kolej Islam Malaya ini pernah berkhidmat dalam pelbagai jawatan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

 

 

 

 


Pengarang :