Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada media selepas merasmikan Wacana Pemicuan Undi 18 Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 13 November 2021. Turut sama EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman (kiri) dan Presiden dan Naib Canselor UNISEL merangkap Pengerusi Eksekutif Institut Darul Ehsan (IDE) Profesor Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman.Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Anwar: Tangguh PRN Sarawak jika kes Covid-19 terus meningkat

SHAH ALAM, 13 NOV: Ketua pembangkang bersetuju Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ditangguhkan jika kes harian Covid-19 terus meningkat.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara berkenaan perlu diteliti mengikut data dan sains kerana ia melibatkan faktor keselamatan dan kesihatan rakyat.

“Jangan ulangi kesilapan seperti di Melaka, Kerajaan UMNO telah menasihat Tuan Yang Terutama (TYT) tetapi tidak diteliti. Kita tengok sekarang tatacara operasi piawai (SOP) tidak tentu arah.

“Apa kaitan lambang dengan kesihatan dan apakah memakai lambang menjejaskan kesihatan? Tindakan tergopoh-gopoh ini menyebabkan orang Melaka menghadapi masalah,”katanya.

Terdahulu, Naib Presiden PKR Sarawak Dr Michael Teo Yu Keng memaklumkan telah menghantar rayuan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menangguhkan PRN negeri ke tahun hadapan susulan peningkatan kes Covid-19.

PRN Sarawak dijadual diadakan awal Disember berdasarkan makluman pembatalan darurat oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari Abang Openg kepada SPR pada 4 November lalu.

Pilihan raya negeri perlu diadakan dalam tempoh 60 hari bermula dari tarikh pembatalan darurat 3 November lalu.


Pengarang :