Selangorkini
Peniaga masih meneruskan perniagaan seperti biasa walau kedai di penuhi air banjir ketika tinjauan SelangorKini di Meru, Klang pada 27 September 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADN SELANGOR

Belanjawan 2022 diharap tambah peruntukan naik taraf infrastruktur tangani banjir

SHAH ALAM, 10 NOV: Belanjawan 2022 diharap dapat menambah peruntukan menaik taraf infrastruktur di kawasan terjejas banjir termasuk Meru, kata wakil rakyatnya.

Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata perkara itu perlu diberi tumpuan dalam usaha menangani kejadian banjir berulang di beberapa kawasan negeri ini.

“Saya berharap Kerajaan Negeri dapat tumpukan kepada pembaikan infrastruktur dan kerja pembersihan parit di kawasan yang kerap berlaku banjir kilat,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, beliau berharap Kerajaan Negeri dapat membina lebih banyak sekolah agama dan membaik pulih masjid serta surau usang, selain penawaran insentif potongan cukai bagi menarik ramai pelabur ke Selangor.

Pada 8 Oktober lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi sesi taklimat Belanjawan 2022 memaklumkan semua ADN dan pimpinan komuniti Selangor terlibat dalam penyediaannya.

Malah, Belanjawan 2022 juga melibatkan wakil rakyat pembangkang dan bebas dalam membincangkan intipati belanjawan yang lebih konstruktif demi manfaat rakyat.

Pembentangan Belanjawan Selangor akan dilaksanakan pada 26 November ini dan dibahas dalam tempoh seminggu sebelum diluluskan pada Disember.


Pengarang :