Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari, bercakap kepada media ketika lawatan persiapan sambutan Deepavali di Little India, Klang pada 2 November 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Belanjawan 2022 menyeluruh, cakupi semua pihak – MB

KLANG, 2 NOV: Dato’ Menteri Besar menyifatkan Bajet 2022 dibentangkan tempoh hari terhasil selepas mengambil kira pandangan pembangkang.

Dato’ Seri Amirudin Shari juga menganggap sebahagian perkara diumum Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menarik kerana bersifat menyeluruh dan mencakupi semua pihak

“Sekali imbas di peringkat awal ia agak menyeluruh kerana saya percaya proses rundingan dan libat urus berjalan dengan agak besar melibatkan semua pihak termasuk pembangkang,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui pemberita selepas meninjau persiapan Deepavali di Little India Klang dekat Jalan Tengku Kelana di sini hari ini.

Bagaimanapun, Amirudin memaklumkan akan menyemak secara terperinci buku belanjawan terutama membabitkan kehendak dan keperluan di Selangor.

“Biasalah, pembentangan itu satu bahagian (tetapi) keseluruhan daripada buku belanjawan itu harus diperhatikan. Saya perlu semak terlebih dahulu setiap halaman,” katanya.

Bajet yang dibentangkan pada 29 Oktober lalu menyediakan peruntukan keseluruhan berjumlah RM332.1 bilion, terbesar dalam sejarah belanjawan negara dengan matlamat memulihkan ekonomi kesan pandemik Covid-19.

Sesi perbahasan Bajet 2022 atau Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2022 bermula semalam di Dewan Rakyat.


Pengarang :