AGENSISELANGOR

Belanjawan #Selangor2022: Yawas harap tambahan peruntukan bantu anak istimewa

SHAH ALAM, 12 NOV: Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) berharap peruntukan untuk memberdaya anak istimewa di negeri ini ditingkatkan dalam Belanjawan #Selangor2022.

Ketua Jabatan Anak Istimewa Selangor (AnIS) berkata tambahan dana membolehkan program sedia ada diteruskan meliputi bantuan khas AnIS, Didik AnIS, intervensi awal kanak-kanak dan seminar pembangunan.

Danial Al-Rahid Haron menjelaskan peruntukan RM3 juta disalurkan Kerajaan Negeri selama tiga tahun berturut-turut tidak mampu menampung permintaan golongan terbabit yang semakin meningkat.

“Kita faham kedudukan kewangan Kerajaan Negeri tetapi untuk memenuhi dan aspirasi orang kelainan upaya (OKU), kita rasa peruntukan itu perlu dinaikkan.

“Jadi, sebahagian lambakan permohonan yang tidak dapat diproses (tahun ini) diharap boleh diselesaikan dengan adanya peningkatan peruntukan tahun depan,” katanya ketika dihubungi Selangorkini hari ini.

Beliau menambah sekiranya tiada perhatian sepenuhnya diberikan terhadap anak istimewa dibimbangi akan membantutkan ekosistem pembelajaran golongan terbabit.

“Perbelanjaan mengurus anak istimewa lebih tinggi berbanding anak normal kerana mereka memerlukan makanan yang khusus selain menjalani terapi sehingga usia enam tahun supaya boleh ke sekolah biasa,” katanya.

Belanjawan #Selangor2022 dijadual dibentangkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 26 November ini.

Pembentangan itu boleh diikuti secara langsung menerusi media sosial https://www.facebook.com/MediaSelangor


Pengarang :