Selangorkini
Pengurus Besar Tourism Selangor Azrul Shah Mohamad. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Tourism Selangor sertai pameran Matta, tawar pakej percutian potongan 50 peratus

SHAH ALAM, 19 NOV: Tourism Selangor menyertai Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) selama dua hari mulai esok di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Pengurus Besarnya Azrul Shah Mohamad berkata orang ramai dialu-alukan hadir ke pameran terkemuka itu dan nikmati pelbagai tawaran percutian menarik dengan potongan sehingga 50 peratus.

Menurutnya, delegasi Selangor akan disertai pihak Sky Mirror Travel & Tours, Selangor Fruit Valley, Farm In The City, Wet World Waterpark, Windlab Indoor Skydiving, Jumpstreet Malaysia, Park Inn By Radisson dan FlowRider 1 Utama.

“Sebelum ini, kita tidak melepaskan peluang menyertai Pameran Matta dan penyertaan Tourism Selangor tahun ini bagi mempromosi kempen ‘Pusing Selangor Dulu!’ dengan memfokuskan sektor pelancongan domestik di ambang pandemik Covid-19,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Azrul Shah berkata penganjur pameran menyasarkan seramai 20,000 pengunjung dalam tempoh dua hari acara itu berlangsung dengan 2,000 orang dibenar berada dalam dewan pada satu-satu masa.

“Inisiatif secara bersemuka ini juga mampu memberi keyakinan kepada orang ramai untuk terus melancong ke Selangor dengan selamat dalam pembudayaan norma baru mengikut tatacara operasi piawai (SOP).

“Justeru, isi masa terluang anda pada hujung minggu ini dan jangan lepaskan peluang untuk #PusingSelangorDulu dengan pelbagai tawaran potongan harga menarik hanya di Pavilion Selangor di Pameran Matta, jumpa di sana,” katanya.


Pengarang :