EXCO Industri Asas Tani Ir Izham Hashim (dua,kiri) menyerahkan cek cura bantuan nelayan bernilai RM400,000 di bawah Pakej Kita Selangor 2.0 di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kuala Selangor pada 25 November 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Bantuan bot, alat pengesan lokasi ikan tingkatkan hasil nelayan

KUALA SELANGOR, 26 NOV: Pemberian bot, enjin dan alat pengesan lokasi (GPS) ikan antara bantuan terbaharu Kerajaan Negeri bagi membantu nelayan meningkatkan hasil tangkapan di bawah Pakej Kita Selangor 2.0.

EXCO Asas Tani Ir Izham Hashim berkata bantuan itu tambahan kepada pemberian sebelum ini antaranya subsidi petrol susulan permintaan nelayan.

Menurutnya, pemberian membabitkan peruntukan RM1.4 juta dan memberi manfaat kepada 3,000 nelayan.

“Subsidi petrol bukan hanya kepada nelayan laut tetapi darat yang turut terkesan dengan pandemik Covid-19.

“Terbaharu kita beri bot, enjin dan GPS mengesan lokasi ikan seperti dipohon bagi membantu meningkatkan tangkapan,” katanya selepas menyampaikan bantuan nelayan di bawah Pakej Kita Selangor 2.0 di sini semalam.

Izham berkata Kerajaan Negeri juga merancang mewujudkan industri hiliran di setiap daerah untuk menambah pendapatan nelayan.

“Ini kerana laut di negeri ini kecil dan tercemar yang mungkin mengehadkan jumlah tangkapan.

“Kena ada persediaan lain contohnya di Kuala Selangor mungkin nelayannya boleh terbabit industri pelancongan dengan membawa pengunjung ke Sky Mirror,” katanya.

Pada 9 Jun, Kerajaan Selangor memperuntuk lebih RM13 juta bagi membantu petani dan penternak yang terkesan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Inisiatif sebahagian Pakej Kita Selangor 2.0 merangkumi RM10 juta untuk program jaminan bekalan makanan, Program Agro Prihatin (RM1.5 juta) dan program peningkatan hasil (RM1.93 juta).


Pengarang :