Selangorkini
EXCO Infrastruktur & Kemudahan Awam Ir Izham Hashim (tengah) memotong riben sebagai gimik perasmian jalan baharu menghubungkan Kota Warisan dan Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang pada 23 November 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

EXCO: Lebih 20,000 penduduk terima manfaat jalan baharu

SEPANG, 23 NOV: Lebih 20,000 penduduk akan menerima manfaat selepas Jalan Sambungan Kota Warisan/B40 (Missing Link) di sini mula dibuka kepada umum, Khamis ini.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata jalan menghubungkan Kota Warisan dan Bandar Baru Salak Tinggi itu bertindak sebagai laluan alternatif bagi penyuraian trafik di jalan sedia ada.

“Projek sepanjang 4.8 kilometer ini menelan belanja RM105 juta iaitu penjimatan RM4 juta berbanding anggaran awal iaitu RM109 juta.

“Kalau ikut laluan biasa tanpa kesesakan untuk menghubungkan Kota Warisan dan Bandar Baru Salak Tinggi ia mengambil masa 15 minit tetapi dengan jalan ini dapat mengurangkan tempoh hanya lima minit,” katanya selepas merasmikan jalan berkenaan petang tadi.

Projek yang dibiayai sepenuhnya Kerajaan Selangor dimulakan pada November 2017 dan siap pada 6 Mei lalu.

Kos berkenaan turut merangkumi pembinaan empat bulatan dan dua persimpangan bagi penyambungan kepada jalan sedia ada.


Pengarang :