Dato’ Seri Amirudin Shari meluangkan masa beramah mesra dan menyantuni calon Pakatan Harapan DUN Ayer Molek Mohd Rafee Ibrahim, 55, di Warung Reformasi pada 14 November 2021 dalam program turun padang beliau sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. Foto ASRI SAPFIE/MEDIA SELANGOR
AGENDANASIONAL

KEADILAN Selangor nasihat calon terus tawan pengundi

PAYA RUMPUT, 14 NOV: Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor mengingatkan calon Pakatan Harapan (HARAPAN) yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka agar terus berkempen biarpun berdepan pelbagai kekangan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata calon juga harus bersabar dan menggunakan segala kemampuan yang ada untuk bertemu pengundi sehingga tamat tempoh berkempen.

“Calon harus bawa dan sampaikan hasrat serta matlamat kepada rakyat. Insha Allah saya yakin kemenangan pada 2018 boleh diulang oleh HARAPAN di Melaka,”katanya.

Terdahulu beliau hadir minum petang bersama calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput Datuk Shamsul Iskandar Mohd Akin dalam lawatan turun padang membantu persiapan calon PRN.

Dalam lawatan itu, Amirudin turut berbincang berhubung keperluan tambahan PRN Melaka berkaitan pengundi dan hal-hal ehwal masyarakat.

Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor menyifatkan kempen yang terhad sepanjang PRN memberi kesan kepada ramai kepada semua calon dalam menyampaikan aspirasi mereka.

“Ini bukan isu lebih kempen, tetapi kekurangan kempen dan merupakan peristiwa agak malang dalam sistem demokrasi yang terganggu disebabkan Covid-19,”katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi PRN Melaka pada 20 November dan undi awal pada 16 November.

Ia susulan pembubaran DUN pada 4 Oktober lalu selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap ketua menteri.

Melaka yang mempunyai 28 kerusi DUN memiliki seramai 495,195 pengundi berdaftar.


Pengarang :