Selangorkini
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Mais kecualikan sewa premis, diskaun 50 peratus susulan pandemik

SHAH ALAM, 22 NOV: Seramai 107 penyewa premis dan tanah milik Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menerima pengecualian serta diskaun sewa sebanyak RM1.12 juta.

Bantuan khusus buat penyewa terkesan Covid-19 melibatkan peniaga runcit serta industri kecil dan sederhana antara Januari hingga Ogos lalu, kata setiausaha Mais.

“Mais berharap usaha ini meringankan beban peniaga yang terjejas pendapatan akibat perintah kawalan pergerakan dan penularan wabak,” kata Dr Ahmad Shahir Makhtar dalam kenyataan.

Beliau berkata pengecualian sewa turut diberikan kepada individu berpendapatan rendah, dibuang kerja dan hilang punca pendapatan sepanjang tempoh pandemik.

Manakala pengurangan sewa antara 30 hingga 50 peratus diberikan kepada penyewa terpilih.

Antara Januari hingga Oktober lalu, Mais mengagihkan bantuan fidyah sebanyak RM5.17 juta kepada mereka yang memerlukan membabitkan 32,618 penerima.


Pengarang :