Kakitangan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) meletakkan peralatan pemecah minyak di Sungai Balak untuk mencegah pencemaran pada 3 Oktober 2021. Foto FACEBOOK LUAS
AGENSISELANGOR

Nilai ganjaran pemberi maklumat jenayah cemar air diumum dalam masa terdekat

HULU LANGAT, 20 NOV: Nilai ganjaran kepada kepada pemberi maklumat jenayah cemar air akan diumum dalam masa terdekat, kata pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

Hasrolnizam Shaari berkata pemberian ganjaran antara perkara terkandung dalam pindaan Enakmen Lembaga Urus Air Selangor LUAS 1999 yang diluluskan Dewan Negeri Selangor pada 9 November tahun lalu.

“Lembangan sungai di Selangor ini agak luas dan kita telah aktifkan pelaksanaan pemberian ganjaran kepada individu yang boleh membantu agensi kenal pasti pihak mencemarkan sumber.

“Setakat ini kaedah pelaksanaannya sudah dipersetujui…cuma dari segi nilai belum lagi ditetapkan, mungkin dalam masa terdekat,” katanya ditemui pada program Sungai Sekamat-River Plogging di Kampung Batu 13 di sini, hari ini.

Pindaan Enakmen LUAS dilulus di Dewan Negeri Selangor pada 9 November setelah gangguan bekalan air kerap berlaku akibat pencemaran sungai yang menyebabkan loji rawatan air dihenti tugas.

Pindaan tersebut antaranya menambah peruntukan penjara mandatori, menambah jumlah denda minimum RM200,000 dan maksimum RM1 juta.

Selain itu LUAS juga boleh mengarahkan pesalah kes pencemaran air membayar kos kerja pembersihan serta memberi ganjaran kepada pemberi maklumat jenayah cemar air.


Pengarang :