Suasana di pekarangan pusat penamaan calon bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N10 Asahan di Pusat Penamaan Calon, Dewan Besar Kolej Komuniti Selandar hari ini. Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bermula pada 8 November 2021. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

PRN Melaka: HARAPAN cadang SPR benarkan kempen pandu lalu

SHAH ALAM, 9 NOV: Pakatan Harapan (HARAPAN) mencadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan kempen pandu lalu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengerusi HARAPAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari menganggap kaedah itu terbaik ketika pandemik selain meningkatkan penyertaan rakyat dalam proses demokrasi.

“Pengunjung datang dengan kereta dan boleh duduk di satu tempat, mendengar penjelasan daripada pihak yang bertanding,” katanya pada sidang media secara maya di Melaka hari ini.

Semalam, Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh mengumumkan ceramah, syarahan dan kempen secara fizikal dilarang sepanjang tempoh PRN Melaka bagi mencegah penularan Covid-19.

Dalam pada itu, beberapa calon dilihat memanfaatkan media sosial untuk berkempen selepas penamaan calon semalam antaranya Pengerusi HARAPAN Melaka Adly Zahari.

Bekas ketua menteri Melaka itu berkongsi gambarnya mengedarkan risalah kepada penduduk Bukit Katil Indah menggunakan skuter elektrik bagi memudahkan pergerakan.

“Pesanan kepada rakyat Melaka, jangan takut untuk keluar mengundi pada 20 November nanti, ikuti tatacara operasi piawai (SOP) yang telah ditetapkan.

Masa depan lima tahun Melaka terletak di tangan anda. Sayangilah negeri kita,” katanya di Facebook.

Bekas wakil rakyat Pengkalan Batu Datuk Norhizam Hassan Baktee pula berkempen melalui poster ala filem berjudul ‘Welcome to Pengkalan Batu’ yang dimuat naik di Facebook ‘Aku YB ke Kau YB?’

Sementara itu, aktivis pelajar dan masyarakat Adam Adli Abdul Halim menerusi perkongsian di Twitter menunjukkan perbezaan kempen yang dijalankan Perikatan Nasional (PN) dengan HARAPAN.

Hantaran itu menunjukkan sekeping gambar PN menggunakan lori dengan skrin besar manakala HARAPAN menggunakan van kecil putih dengan kapsyen ‘tak ramai, tapi ada’.

SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November dan undi awal pada 16 November berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lalu selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.


Pengarang :