Selangorkini
Sukarelawan Selangor (SERVE) bergotong royong membersihkan rumah mangsa banjir di sekitar Lembah Jaya pada 23 November 2021. Foto IHSAN SERVE
AGENSI SELANGOR

Rumah masih kotor, 14 keluarga tinggal di pusat pemindahan sementara

SHAH ALAM, 23 NOV: Lebih 200 kediaman sekitar DUN Lembah Jaya terjejas akibat kejadian banjir kilat setinggi antara 0.3 meter hingga 1.5 meter malam tadi.

Penyelarasnya Daing Muhammad Reduan Bachok berkata susulan itu Dewan MPAJ Pinggiran 3 dan Dewan MPAJ Kampung Ampang Indah dibuka sebagai pusat pemindahan sementara (PPS).

“Sekarang ada 14 keluarga tinggal di PPS kerana rumah mereka kotor disebabkan banjir malam tadi adalah lumpur. Banyak tilam dan peralatan elektrik rosak.

“Mereka tinggal di PPS sementara waktu dan kami membantu membersihkan rumah mereka. Bila proses pembersihan selesai mereka dibenarkan pulang,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Jelasnya kerja pembersihan giat dijalankan ketika ini yang turut dibantu beberapa pihak antaranya Team Selangor dan Sukarelawan Selangor (SERVE), Majlis Perbandaran Ampang Jaya, KDEB Waste Management serta bomba.

Malam tadi kawasan sekitar Ampang, Hulu Langat dan Gombak mengalami banjir kilat selama tiga jam akibat hujan lebat sekitar Lembah Klang.

Susulan itu Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan agensi tertentu tampil memberi bantuan kecemasan, perpindahan serta pembersihan.


Pengarang :