EXCO Pelaburan Perdagangan dan Perindustrian Dato’ Teng Chang Khim berucap pada Majlis Perasmian Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 18 November 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA EKONOMI

Sidang kemuncak perniagaan 2021 diiktiraf Malaysia Book of Records

Oleh Nasuha Badrul Huzaini

KUALA LUMPUR, 18 NOV: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor 2021 (SIBS 2021) yang membuka tirai hari ini diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai acara pameran terbesar seumpamanya, kata EXCO pelaburan perdagangan dan perindustrian.

Dato’ Teng Chang Khim berkata rekod itu dicapai berdasarkan keluasan ruang pameran 13,000 meter persegi, 500 gerai pempamer dan 10,000 pengunjung dijangka hadir acara berkenaan.

“SIBS berkembang pesat sejak pertama kali dianjurkan pada 2015. Sidang kemuncak antarabangsa ini menjadi platform terbaik untuk pemain industri berhubung, bekerjasama dan mencipta peluang tanpa batasan.

“Saya gembira melaporkan bahawa tahun ini, SIBS membentangkan capaian terluas yang pernah ada. Selain jumlah ruang pameran fizikal seluas 13,000 meter persegi, 500 gerai dan 10,000 pengunjung perdagangan yang dijangka, kami menampilkan SIBS secara digital dan berharap dapat memberikan liputan seluas mungkin,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian SIBS 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah yang mewakili Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyempurnakan majlis perasmian sidang perniagaan itu.

Turut hadir Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Bhd Datuk Hasan Azhari.

Menurut Chang Khim, SIBS bermula sebagai pameran perdagangan iaitu Ekspo Antarabangsa Selangor.

“Hari ini ia berkembang menjadi sidang kemuncak pelbagai acara yang diadakan selama empat hari.

“Dalam edisi ke-3 pada 2019, sidang kemuncak itu telah menerima hampir 100,000 pelawat daripada lebih 33 buah negara yang menghasilkan nilai dagangan terkumpul lebih RM1.1 bilion atau kira-kira AS$268 juta,” katanya.


Pengarang :