EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman menjawab soalan di Dewan Negeri Selangor pada 6 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
EXCO SELANGOR

1,083 kertas siasatan berkaitan judi dibuka, 891 sudah didakwa

SHAH ALAM, 6 DIS: Sebanyak 1,083 kertas siasatan dibuka berkaitan kesalahan judi bagi tempoh Januari hingga Oktober lalu dengan 891 daripadanya sudah didakwa di mahkamah.

EXCO pembangunan generasi muda berkata seramai 2,298 individu termasuk empat pelajar sekolah ditahan dan sejumlah RM219,930 berjaya dirampas dalam tangkapan itu.

“Walaupun kes membabitkan pelajar kecil, pihak polis tetap ambil langkah serius menanganinya,” kata Mohd Khairuddin Othman.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan wakil rakyat Sabak, Ahmad Mustain Othman mengenai perkembangan judi dalam talian membabitkan golongan muda pada Sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Khairuddin berkata pihaknya juga menjalankan kerjasama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) merangka pelan jangka bagi mengatasi masalah judi.

“Kita juga bekerjasama dengan polis, pihak berkuasa tempatan, Tenaga Nasional Berhad dan Syarikat Bekalan Air Selangor mengambil tindakan menyita premis, memotong bekalan elektrik dan bekalan air serta menahan individu yang terlibat bagi tujuan siasatan,” katanya.


Pengarang :