ADN Kota Anggerik, Najwan Halimi (kanan) bercakap dalam segmen Bicara Orang Muda Inspirasi Daripada Buku sempena Pesta Buku Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 10 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Amal baca buku 10 minit sehari bantu bentuk pemikiran, persepsi

SHAH ALAM, 11 DIS: Wakil rakyat Kota Anggerik menggesa masyarakat supaya menerapkan amalan membaca buku sekurang-kurangnya 10 minit sehari bagi menambah ilmu pengetahuan.

Najwan Halimi berkata kesibukan tugas harian tidak seharusnya menjadi halangan buat seseorang untuk melakukan aktiviti bermanfaat yang mampu membentuk pemikiran dan persepsi terhadap sekeliling.

“Amalan ini juga selari dengan wahyu pertama diturunkan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW bahawa pentingnya membaca. Jadi, sesibuk manapun cuba cari masa untuk baca (buku).

“Saya akui, kadang-kadang teknologi digital menjadi ‘positive distraction’ kepada kita untuk membaca buku. Kebanyakan kita cuba mencari jalan pintas dengan menonton dokumentari di YouTube (berbanding baca buku),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam segmen Bicara Orang Muda Inspirasi Daripada Buku sempena Pesta Buku Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini semalam.

Sementara itu, Najwan berkata ibu bapa digalak mendedahkan anak mereka dengan bahan bacaan berunsur kisah klasik dan dongeng sebagai usaha menggalakkan minat membaca.

“Ibu bapa boleh perkenal buku seperti Sang Kancil, Pak Pandir dan Lebai Malang kerana buku ini penceritaan lebih mudah selain mendorong anak mereka mudah berfikir.

“Khazanah bacaan bahasa Melayu sememangnya banyak, cuma kita yang semakin lupa atau pemimpin tak bercakap mengenai buku-buku ini. Mereka (pemimpin) lebih bercakap benda bombastik,” katanya yang menggemari naskah berbentuk biografi, falsafah dan sejarah.


Pengarang :