Azmani Anwar, 39 menggunakan aplikasi Smart Selangor Parking ketika tinjauan SelangorKini di Seksyen 9, Shah Alam pada 10 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Bayar parkir secara digital lebih mudah, cepat dan selamat

SHAH ALAM, 11 DIS: Pembayaran parkir secara digital menerusi aplikasi Smart Selangor Parking memudahkan, cepat dan selamat.

Ketua bahagian korporat dan perhubungan awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berkata inisiatif dilaksana Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) itu selaras hasrat MBSA ke arah pendigitalan.

“Saya berharap orang awam memanfaatkan peluang ini dan bersedia beralih ke arah digital yang lebih menjimatkan masa dan penggunaan kertas,” kata Shahrin Ahmad kepada SelangorKini.

Pegawai Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Kamarul Izlan Sulaiman pula berkata pelaksanaan parkir secara digital itu yang dapat mengurangkan orang dikenakan kompaun.

“Kita harap masyarakat mematuhi pelaksanaan parkir menerusi aplikasi di samping ia juga sebagai tanda sokongan kepada Kerajaan Negeri untuk mendigitalisasikan perkhidmatan awam di Selangor,” katanya.

Seorang penjawat awam Annaz Eilaina Ahmad Anwar Merican, 42, berkata usaha Kerajaan Selangor melaksanakan sistem parkir secara digital itu harus dipuji dan memudahkan masyarakat.

“Contohnya penduduk luar Selangor mereka tiada kupon parkir dan tidak tahu dapatkan dimana. Apabila adanya aplikasi ia lebih mudah hanya perlu muat turun dan terus guna.

“Caj parkir melalui aplikasi juga mungkin lebih tepat mengikut jumlah jam kenderaan diletakan,” katanya.

Selain itu, seorang peniaga Abdul Halim Abdul Razak, 30, berkata perubahan itu selaras dengan era modenisasi di samping menjaga persekitaran.

“Menggunakan aplikasi untuk bayar parkir lebih mudah kerana telefon pintar sentiasa ada pada kita. Jika guna kupon adakalanya ia akan bersepah di merata tempat,” katanya.

SSDU menerusi perkongsian di Facebook memaklumkan semua pembayaran dibuat menggunakan e-kupon menerusi aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) mulai 3 Januari.

Pengguna hanya perlu mengisi nombor pendaftaran kereta dan membayar berdasar tempoh meletak kenderaan. Selain itu, pembayaran juga boleh dibuat melalui ejen e-kupon yang sah.

Layari Facebook Smart Selangor Parking dan hubungi 1 700 81 9612 untuk keterangan lanjut.


Pengarang :