Selangorkini
Sebahagian penumpang dilihat memakai pakaian perlindungan lengkap (PPE) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) susulan pengesanan kes pertama positif Covid-19 varian Omicron pada 3 Disember 2021. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Jangkitan harian catat 3,997 kes, tiga kluster baharu dikesan

KUALA LUMPUR, 30 DIS: Jangkitan harian Covid-19 dalam negara terus meningkat dan menghampiri paras 4,000 apabila 3,997 kes baharu dicatatkan hari ini berbanding 3,683 kes semalam, menjadikan jumlah kumulatif kini 2,754,513.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kes baharu itu, 64 kes (1.6 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima, manakala 3,933 kes (98.4 peratus) lagi adalah kategori satu dan dua.

Beliau berkata kes harian itu melibatkan 3,631 kes penularan tempatan dan 366 kes import, sementara 3,984 kes sembuh menjadikan kumulatif 2,681,390 kes.

“Kes di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebanyak 281 dan 155 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata hanya tiga kluster baharu dikesan menjadikan jumlah kluster aktif kini 221 kluster dan keseluruhan 6,123 kluster, sementara kadar kebolehjangkitan (Rt) di negara ini ialah 0.95 setakat semalam.

Mengenai kes Covid-19 dalam kalangan mangsa banjir, beliau berkata setakat hari ini, 15 kes positif direkodkan melibatkan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS), manakala jumlah keseluruhan mangsa banjir positif wabak itu adalah 442 orang.

Katanya tiada pertambahan kluster baharu yang dilaporkan melibatkan mangsa banjir di PPS.

Bagaimanapun, katanya terdapat 71 lagi kes penyakit berjangkit yang dikesan melibatkan mangsa banjir hari ini, merangkumi jangkitan saluran pernafasan akut (ARI) sebanyak 26 kes, penyakit kulit (30), cute Gastroenteritis (AGE) (13) serta penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) (dua).

– BERNAMA


Pengarang :