Selangorkini
Mohd Zamri Mastora, 47, menyiapkan tempahan pelanggan ketika anggota penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat pemantauan harga ayam di Pasar Awam Seksyen 6 pada 21 Sept 2021. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Harga ayam, tiga barang keperluan lain turun mulai esok

BUKIT MERTAJAM, 31 DIS: Ayam, telur ayam, sawi dan kacang panjang akan mengalami penurunan harga di seluruh negara bermula esok, dalam usaha membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga munasabah.

Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam berkata keempat-empat barangan itu terlibat dalam pelarasan harga semula sebagai langkah untuk menstabilkan harga barangan.

“Empat harga barang baharu berkenaan adalah di bawah Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) yang terlibat dalam pelarasan harga semula dan pelarasan dibuat dengan mengambil kira situasi serta lokaliti sehingga 4 Feb nanti.

“Antara contoh penurunan bermula esok adalah harga ayam iaitu dari RM9.30 kepada RM9.10. Sama juga seperti tiga lagi barang keperluan makanan termasuk dua jenis sayur-sayuran berkenaan, turun lima hingga 10 peratus,” katanya selepas program ‘walkabout’ operasi Back To School (BTS) dan SHMMP di Pasaraya Mydin di sini, hari ini.

Sementara itu katanya menerusi SHMKM pihaknya telah membuat pemeriksaan ke atas 25,897 premis perniagaan di seluruh negara dan daripada jumlah itu pihaknya mengesa 85 kes pelbagai kesalahan perniagaan yang membabitkan nilai kompaun RM20,000, setakat semalam.

Beliau berkata kompaun itu antaranya membabitkan kesalahan berkaitan tindakan menjual barangan keperluan melebihi harga maksimum ditetapkan serta tidak meletakkan tanda harga.

Sementara itu merujuk kepada BTS Azman berkata operasi itu bertujuan memastikan peniaga tidak menaikkan harga barang keperluan sekolah sewenang-wenangnya, dan mematuhi peraturan kawalan harga ditetapkan.

“Operasi ini dilaksanakan bermula 13 Dis lepas hingga 20 Mac tahun depan membabitkan sembilan jenis barangan keperluan sekolah, yang terdiri daripada pakaian sekolah, beg sekolah, kasut sekolah dan peralatan pembelajaran. Setakat ini kami telah periksa 437 premis membabitkan 1,858 jumlah barangan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :