Dato’ Menteri Besar Dato’ Amirudin Shari (dua, kanan) menerima sumbangan bersama daripada Pengurus Urusan China Communications Costruction, Kong Qi (tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd Datuk Sri Darwis Abdul Razak (dua, kiri) ketika majlis serahan Tabung Bantuan Ikhtiar Selangor Bangkit siri kedua di Pejabat Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 31 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Ambang tahun baharu: MB ajak umat Islam sertai solat hajat, mohon jauhi musibah

SHAH ALAM, 31 DIS: Dato’ Menteri Besar menyeru umat Islam untuk bersama menunaikan solat sunat hajat dan zikir munajat dalam Program Selangor Memohon Kesejahteraan Allah Menjelang Tahun 2022.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri) di sini dan masjid-masjid daerah sebagai salah satu usaha supaya Selangor dilindungi dari sebarang bencana.

“Saya menyeru umat Islam yang berkesempatan untuk hadir bersama-sama moga doa kita dipanjangkan dan diterima Allah agar terhindar dari dugaan besar sebagaimana kita harungi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima sumbangan daripada beberapa pihak korporat menerusi Tabung Ikhtiar Selangor Bangkit di Bangunan Annex di sini hari ini.

Selain solat sunat hajat dan zikir munajat, antara pengisian program anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) adalah solat maghrib, solat sunat ba’diah (sendiri), solat taubah (sendiri), solat sunat awabin maal hifz iman berjemaah, bacaan yasin dan solat isyak.

Jais memaklumkan program itu akan diadakan serentak di Masjid Negeri di sini dan masjid-masjid daerah dengan orang ramai boleh hadir seawal jam 6.15 petang.

“Tatacara operasi piawai (SOP) dan jumlah kehadiran adalah sama seperti ditetapkan Jais sebelum ini iaitu 3,500 jemaah di Masjid Negeri.

“Bagi masjid-masjid daerah pula, jumlah kehadiran juga sama seperti SOP sebelum ini iaitu bergantung kepada keluasan masjid antara 750 hingga 1,000 jemaah,” katanya.


Pengarang :