Selangorkini
Harimau kumbang jantan mati ditembak selepas menyerang anggota Perhilitan di Kampung Kelatap, Pos Perwor, Perak pada 9 Disember 2021. Foto BERNAMA
AGENDA ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Harimau kumbang jantan serang anggota Perhilitan ditembak mati

IPOH, 10 DIS: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak terpaksa menembak seekor harimau kumbang jantan yang menyerang kakitangan agensi terbabit di Kampung Kelatap, Pos Perwor di sini semalam.

Perhilitan memaklumkan tindakan pantas melepaskan tiga das tembakan dan mengenai harimau itu sebagai langkah mempertahankan keselamatan petugas yang telah diserang berhampiran kawasan semak di kebun getah, kira-kira pukul 8.30 pagi.

Katanya ketika kejadian berlaku, anggota berkenaan sedang memasang perangkap ekoran kejadian lelaki Orang Asli berusia 18 tahun cedera diserang binatang buas itu pada Rabu.

“Empat kakitangan Perhilitan Daerah Sungai Siput telah menemui Tok Batin Pos Perwor di lapangan bagi mendapatkan maklumat terperinci dan menunjukkan lokasi kejadian serta turut membawa perangkap bersesuaian bagi menangkap hidupan liar tersebut.

“Setelah ditunjukkan lokasi kejadian, mereka mula menjejaki kesan-kesan yang ada dan telah menemukan beberapa kesan tapak dipercayai harimau dan kesan darah yang masih baharu pada rumput dan daun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, hasil penelitian pada bangkai harimau kumbang berkenaan didapati ia dalam lingkungan usia sembilan dan 10 tahun dan terdapat banyak kesan kecederaan dipercayai tetakan parang pada kepala dan paha harimau kumbang berkenaan semasa pergelutan dengan mangsa Orang Asli.

“Turut ditemukan pada karkas atau bangkai, seutas jerat dawai kabel di kaki kanan belakang. Kami percaya kecederaan pada kaki kanan belakang akibat terkena jerat dawai kabel menyebabkan harimau kumbang berkenaan menjadi agresif dan menyerang manusia.

“Sehubungan itu, Perhilitan  menyeru orang ramai agar menghentikan perbuatan memasang jerat hidupan liar kerana ia akhirnya mengundang bahaya kepada manusia selain menzalimi hidupan liar,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, bangkai harimau kumbang berkenaan dibawa ke Pejabat Perhilitan Daerah Sungai Siput dan akan dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar (NWRC) untuk proses bedah siasat.

“Penduduk kampung dinasihatkan agar sentiasa membersihkan kawasan tanaman dan kebun serta tidak dibiarkan bersemak sebagai langkah untuk mengurangkan kehadiran hidupan liar di kawasan berkenaan,” katanya.

– BERNAMA

 


Pengarang :