Selangorkini
AGENDA NASIONAL

Ibu kandung, kekasih disyaki dera anak hingga maut direman seminggu

JOHOR BAHRU, 5 DIS: Seorang wanita dan kekasihnya direman seminggu selepas disyaki mendera hingga menyebabkan kematian anak kandung lelakinya yang berusia lima tahun di sebuah rumah di Nusa Bestari dekat Iskandar Puteri, Jumaat lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata wanita berusia 35 tahun dan lelaki berusia 32 tahun itu direman bermula semalam bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Sehingga kini tangkapan kes ini hanya melibatkan dua individu. Mayat mangsa (kanak-kanak lelaki) masih belum dituntut dan berada di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Aminah (HSA).

“Sebelum ini ibu mangsa merupakan seorang tukang cuci, pernah berkahwin banyak kali namun tidak mendaftarkan perkahwinannya dan mempunyai lapan anak,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki maut dipercayai menjadi mangsa dera ibu kandung dan kekasihnya selepas polis menerima panggilan daripada petugas HSA mengenai kejadian itu pada pukul 12.20 tengah hari, Jumaat lepas.

Sementara itu, Ayob Khan berkata pemeriksaan terhadap mayat seorang kanak-kanak berusia tiga tahun dan tidak diketahui jantina yang ditemukan dalam keadaan reput di tebing sungai di Jalan Anggerik Putih Majidee, Kampung Desa Makmur di sini, semalam, tidak menemukan sebarang unsur jenayah.

Beliau berkata sehingga kini pihaknya masih menunggu laporan lengkap bedah siasat daripada pihak hospital.

“Mayat yang kita jumpa ini tidak sempurna, ada organ yang hilang, kaki pun sudah tiada. Kita masih tidak dapat kesan jantina, bangsa dan sebagainya. Setakat ini tiada elemen jenayah ditemukan,” katanya.

-BERNAMA

 


Pengarang :