Pekerja KDEB Waste Management (KDEBWM) membantu penduduk membersihkan kawasan terjejas akibat banjir di Pekan Batu 14, Hulu Langat pada 23 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

MB: Kerja pembersihan empat daerah surut banjir giat dilaksana

SHAH ALAM, 24 DIS: Kerja pembersihan kawasan yang sudah surut banjir sedang giat dilaksanakan hari ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari kawasan itu meliputi Klang, Petaling, Shah Alam dan Hulu Langat.

“Kerja pembersihan sudah mula di semua kawasan banjir yang dah surut. Bukit Changgang dengan Kuala Selangor belum surut, harap petang ini boleh surut sepenuhnya.

“Kita jangka kerja pembersihan ambil masa dua minggu,” katanya mengenai perkembangan banjir di Selangor dalam temu bual menerusi Bernama Radio hari ini.

Selain itu, Amirudin berkata jumlah pusat pemindahan sementara (PPS) dan mangsa yang dipindahkan juga menunjukkan penurunan.

“Jumlah mangsa pada Selasa kira-kira 30,000 dan turun sekitar 18,000 hari ini. Juga PPS daripada 203 pada hari sama jatuh pada 103 hari ini,”katanya.

 


Pengarang :