Kakitangan Air Selangor menghantar bantuan air bersih kepada penduduk terjejas akibat henti tugas loji rawatan air (LRA) susulan banjir. Foto Facebook Air Selangor
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pemulihan bekalan air di tiga wilayah capai 87 peratus

SHAH ALAM, 22 DIS: Status pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas akibat henti tugas empat loji rawatan air (LRA) mencapai tahap 87 peratus secara keseluruhansetakat 6 pagi ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan pecahan peratusan pemulihan bekalan air itu mencapai 100 peratus di Wilayah Petaling, Hulu Langat (89.9 peratus) dan Kuala Lumpur (81.7peratus).

“LRA Semenyih 2 sudah beroperasi sepenuhnya dan bekalan air bagi 70 kawasan yang terjejas akibat henti tugas loji ini telah pulih sepenuhnya.

“Bagi LRA Sg Langat dan LRA Langat 2, kedua-dua loji telah beroperasi sepenuhnya dan bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada 11 malam 22 Disember,” jelas Air Selangor menerusi Facebook.

Sementara itu, kerja-kerja pembaikan di LRA Cheras Batu 11 masih giat dilaksanakan dan jangkaan ia beroperasi sepenuhnya akan diumumkan kelak.

“Bantuan alternatif melalui lori-lori tangki masih digerakkan dengan memberi keutamaan kepada premis kritikal,”menurut kenyataan itu.

Beberapa kawasan di wilayah Petaling, Hulu Langat dan Kuala Lumpur mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan henti tugas empat loji rawatan air disebabkan peningkatan paras air serta penutupan bekalan elektrik kecemasan pada Ahad lepas.

Pengguna boleh merujuk saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor menerusi talian 15300, manakala pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre dengan melayari www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.

 

 


Pengarang :