Dua daripada lima Mercedes kepunyaan Mohamad Zamri Idris yang hanyut dibawa arus ketika banjir di rumahnya di Kampung Dusun Nanding, Hulu Langat. Foto ihsan Mohamad Zamri Idris
AGENDANASIONAL

Pengumpul Mercedes redha lima kereta termasuk limosin dihanyut banjir

SHAH ALAM, 24 DIS: Pengumpul Mercedes Benz klasik redha apabila lima kereta pelbagai model dimiliki bernilai kira-kira RM230,000 dihanyutkan arus deras ketika banjir melanda kediamannya di Kampung Dusun Nanding, Hulu Langat Sabtu lalu.

Ahli perniagaan Mohamad Zamri Idris, 54, berkata ia termasuk koleksi kesayangannya yang dipercayai satu-satunya terdapat di Malaysia, W124 limosin empat pintu dibelinya lebih RM130,000 daripada seorang usahawan bergelar Datuk pada Disember tahun lalu.

“Anak saya perasan kereta itu tiada di kawasan parkir pada jam 4 pagi Sabtu (18 Disember) kerana dihanyutkan arus deras tetapi pada masa itu tidak dapat berbuat apa-apa lagi.

“Esoknya (19 Disember) saya dapati ia ditolak air dan jatuh gaung sedalam dua meter (m) sebelum hanyut hampir 50 m tetapi ketika itu saya lebih terkenang nasib mangsa banjir berbanding koleksi Mercedes dimiliki yang hanya harta dunia,” katanya ketika dihubungi Selangorkini.

Mohamad Zamri Idris bersama sebuah kereta Mercedes miliknya yang terbalik akibat banjir di sekitar rumahnya di Kampung Dusun Nanding, Hulu Langat. Foto ihsan Mohamad Zamri Idris

Katanya, kesemua lima keretanya diletakkan di perkarangan Dewan Teratak Nanding Event and Wedding miliknya yang dijadikan pusat pemindahan sementara banjir bagi penduduk sekitar.

Mohamad Zamri yang juga Naib Presiden Kelab Mercedes Benz W124 Malaysia berkata, alat ganti limosin keluaran 1995 itu sukar diperoleh terutama bahagian pintu dan cermin tingkap yang lebih lebar berbanding model biasa serta versi enam pintu.

Selain W124 limosin empat pintu, model W124 berbilang injap buatan tahun sama turut dihanyutkan arus deras hingga terbalik.

Model lain yang turut tenggelam tetapi tidak dihanyutkan adalah Mercedes W123 keluaran 1980 serta W210 dan W140 (1995).

Mohamad Zamri berkata, kejadian banjir itu merupakan kali pertama melanda rumahnya yang terletak dalam kawasan sama dengan dewan terbabit.


Pengarang :