Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media berkenaan situasi banjir dan bantuan Selangor Bangkit bilik Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (MTES) Bangunan Pentadbiran Kerajaan Negeri (SUK), Shah Alam pada 27 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN /SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sambutan Tahun Baharu 2022 dibatal, ganti tahlil dan doa selamat

SHAH ALAM, 27 DIS: Sambutan Tahun Baharu 2022 peringkat negeri dibatalkan dan diganti dengan program keagamaan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya akan menganjurkan majlis tahlil, doa selamat dan zikir munajat sebagai menghormati dan bersimpati kepada mangsa banjir minggu lalu.

“Program dikendalikan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais). Surau, musala digalakkan sertai aktiviti ini dan susun ikut kesesuaian.

“Individu, syarikat atau mana-mana kumpulan dinasihatkan tidak menganjur sebarang program,” katanya pada sidang media di bangunan Pentadbiran Kerajaan Negeri (SUK) hari ini.

Amirudin berkata banjir minggu lalu menyebabkan lapan daerah negeri ini terjejas melibatkan lebih 40,000 individu yang ditempatkan di 205 pusat pemindahan sementara.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Susulan itu, semua aset Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan termasuk bomba, polis dan tentera dikerah bagi memindahkan mangsa ke tempat selamat selain mengagih barang keperluan asas.

 


Pengarang :