Selangorkini
Pembaikan semula benteng di Bukit Changgang, Kuala Langat bagi menghalang limpahan air sungai pada 3 Januari 2022. Foto tular yang dikongsi di Facebook Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor
AGENDA NASIONAL

Cerucuk lembaran keluli stabilkan ban pecah di Bukit Changgang

KUALA LUMPUR, 5 JAN: Kerja pembaikan ban pecah di Sungai Langat di kawasan Kampung Rancangan Tanah Baharu (RTB) Bukit Changgang dan Kampung Labohan Dagang, Kuala Langat melibatkan penggunaan cerucuk lembaran keluli serta tanah bagi mengukuh dan menstabilkan ban sedia ada.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam kenyataan memaklumkan selain itu batang kelapa sawit juga digunakan dalam pembaikan ban pecah bertujuan untuk mengukuhkan laluan jentera berat di kawasan pembinaan terbabit.

Menurut kenyataan itu, batang kelapa sawit juga digunakan sebagai halangan sementara bagi mengurangkan limpahan air sungai sebelum kerja pembaikan ban dilaksanakan.

“Pada masa ini, JPS Selangor sedang memfokuskan kepada kerja pembinaan saluran keluar air banjir menggunakan pam skru ke Sungai Langat. Kerja ini dijangka siap dalam tempoh tiga hingga lima hari, bergantung kepada keadaan cuaca,” katanya.

Penduduk terutamanya di kawasan yang dijangka dilanda banjir diminta sentiasa berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa dan sebarang maklumat serta amaran semasa boleh didapati di laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook: Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia – Dept. of Irrigation and Drainage dan Twitter @DID_Malaysia.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai maklum balas kepada laporan media berhubung kejadian ban pecah di Kampung RTB Bukit Changgang yang menimbulkan kebimbangan kepada penduduk sekiranya berlaku banjir sekali lagi.

Menurut laporan media itu penduduk terpaksa mengambil inisiatif sendiri dengan meletakkan batang kelapa sawit dan bongkah batu bagi menghalang kemasukan air Sungai Langat ke kawasan kampung.

-BERNAMA


Pengarang :