Sebilangan mangsa banjir yang menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) di Balai Penghulu Mukim Batu, Gombak pada 30 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 11,000 keluarga terima bantuan pascabanjir RM1,000

SHAH ALAM, 5 JAN: Seramai 11,481 keluarga terjejas banjir bulan lalu menerima bantuan berjumlah RM1,000 setakat 10 pagi tadi, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan Kerajaan Selangor berbelanja RM11.531 juta untuk sumbangan melalui Bantuan Selangor Bangkit (BSB).

Menurut infografik dikongsi beliau di Twitter, lima waris korban di Sepang dan Hulu Langat turut menerima bantuan masing-masing RM10,000.

Daerah Petaling paling ramai menerima sumbangan membabitkan 4,349 isi rumah diikuti 2,143 penduduk Hulu Langat manakala 1,866 di Klang.

Turut menerima sumbangan sama ialah 1,115 isi rumah di Kuala Selangor, Sepang (904), Kuala Langat (705), Gombak (313), Hulu Selangor (51) dan Sabak Bernam (35).

Pada 21 Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta bagi permulaan program BSB susulan banjir di beberapa daerah pada 18 Disember.

Selain pemulihan prasarana, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Bantuan diagih mulai 28 Disember dan dijangka selesai hujung bulan ini.

 


Pengarang :