Pengguna beratur menaiki Bas Smart Selangor ketika tinjauan di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 2 Januari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kenderaan rosak akibat banjir, orang ramai harap laluan bas percuma diperluas

SHAH ALAM, 3 JAN: Penduduk berharap laluan sementara Bas Smart Selangor di sekitar Taman Sri Muda di sini diperluaskan bagi memanfaatkan lebih ramai mangsa terkesan banjir di kawasan itu.

Ketika ini perkhidmatan bermula di Hub Sri Muda membabitkan lima perhentian iaitu Balai Polis Sri Muda, Hentian Jalan Hasrat, Pasaraya NSK, Petron Sri Muda dan Pangsapuri Andorra sebelum kembali di Hub Sri Muda.

N Ramamoorthy, 49. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Penduduk N Ramamoorthy, 49, berkata ramai penduduk mengalami kesukaran bergerak disebabkan kenderaan mereka rosak teruk dalam kejadian banjir besar melanda 18 Disember lalu.

“Jadi inisiatif Kerajaan Negeri ini memang bagus kerana memudahkan penduduk, cuma kalau boleh perluaskan lagi kawasan.

“Lagi banyak kawasan dilalui lebih ramai tang dapat manfaat,” katanya ditemui di sini, hari ini.

Bagi warga Indonesia Timaneh Ibnu, 48, perkhidmatan bas khusus di Taman Sri Muda itu mengurangkan beban penduduk yang terkesan dengan banjir.

Warga Indonesia, Timaneh Ibnu, 48. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Macam-macam dilakukan pihak berkuasa untuk beri keselesaan kepada penduduk, mungkin ini (perkhidmatan bas) nampak kecil tetapi bermakna buat mereka yang sukar macam kami,” katanya.

Laluan sementara Bas Smart Selangor di sekitar Taman Sri Muda di sini disediakan untuk kegunaan penduduk terkesan banjir di kawasan itu sejak semalam.

Perkhidmatan tersebut bermula 6 pagi hingga 10 malam dengan kekerapan sejam.


Pengarang :