Wakil Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyampaikan bantuan kepada mangsa terjejas banjir sekitar Kuala Selangor pada 30 Disember 2021. Foto Facebook Mais
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Mais salur RM50,000 kepada maahad tahfiz terjejas banjir

SHAH ALAM, 17 JAN: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyalurkan dana berjumlah RM50,000 kepada Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Selangor (Pitas).

Setiausahanya Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata sumbangan itu untuk diagihkan kepada maahad tahfiz seluruh negeri ini yang terjejas banjir 17 Disember tahun lalu.

“Mais amat prihatin dengan keperluan ummah di negeri ini terutama apabila berlaku bencana kita akan segera menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan.

“Kita berharap sumbangan ini membantu dalam menaik taraf maahad tahfiz dan dapat beroperasi seperti biasa serta pelajar pula boleh belajar dengan sempurna,” katanya menerusi kenyataan.

Manakala, Pengerusi Pitas Muhammad Hafiz Muhamad Haneefa turut mengucapkan terima kasih terhadap bantuan diberikan.

“Saya bersyukur bantuan daripada Mais yang begitu cakna kepada institusi tahfiz yang terkesan akibat banjir. Sebanyak 36 Maahad Tahfiz terjejas yang kebanyakannya di daerah Hulu Langat, Kuala Langat, Klang dan Shah Alam.

“Insya-Allah, duit ini akan digunakan untuk membeli perabot seperti katil dan tilam serta keperluan lain. Terima kasih atas sumbangan diberikan,” katanya.

Sumbangan Mais itu akan diserahkan kepada maahad tahfiz yang terjejas antaranya Maahad Tahfiz Pondok Bustanul Arifin, Kuala Langat; Maahad Tahfiz Lil Muttaqin, Hulu Langat dan Maahad Tahfiz Muntazut Taqwa, Kuala Langat.

Mais memperuntukkan RM38.1 juta bagi membantu mangsa banjir di Selangor. Antara penerima sumbangan adalah pusat tahfiz, institusi masjid, surau, sekolah dan individu yang terkesan kerosakan rumah serta harta benda.


Pengarang :