Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meyampaikan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) kepada penduduk terkesan banjir di Sekolah Menegah Kebangsaan Sungai Serai, Hulu Langat pada 29 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Bantuan fasa pertama kepada 11,000 ketua isi rumah selesai

SHAH ALAM, 6 JAN: Agihan bantuan RM1,000 kepada lebih 11,000 ketua isi rumah terjejas banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) negeri ini selesai sepenuhnya, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan serahan melalui inisiatif Bantuan Selangor Bangkit berjalan lancar dalam tempoh seminggu kerana mangsa tidak perlu mengemukakan borang permohonan.

“Fasa pertama agihan kepada semua yang tinggal di PPS boleh dikatakan semuanya selesai, tetapi ada tidak hadir ketika sesi penyerahan kerana mungkin mereka terlepas.

“Kita akan sambung lagi (serahan) dalam tempoh terdekat dan bantuan ini dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri,” katanya ditemui pemberita selepas program serahan sumbangan banjir oleh Petroliam Nasional Berhad (Petronas) di perkarangan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Amirudin berkata bantuan sama kepada mangsa bencana yang tidak ditempatkan di PPS juga mula disalurkan selain menjangkakan jumlah penerima manfaat meningkat sehingga 30,000 keluarga.

“Kita sedang kumpul lagi (senarai mangsa). Kita anggarkan jumlahnya meningkat sampai 30,000 keluarga,” katanya.

Pada 21 Disember, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Bantuan Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah dua minggu lalu.

Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa banjir yang terkorban dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Bantuan diagih mulai 28 Disember lalu dan dijangka selesai agihan hujung bulan ini.


Pengarang :