Pekerja ‘The Pickers Bundle’ menyusun pakaian terpakai untuk dilelong dengan harga serendah RM1 ketika tinjauan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada 1 Januari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Pengusaha `bundle’ rugi RM1.5 juta akibat banjir, sedekah pakaian kepada mangsa terjejas

SHAH ALAM, 2 JAN: Biarpun mengalami kerugian mencecah RM1.5 juta ekoran banjir, seorang pengusaha pakaian terpakai di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini tetap meneruskan niat murni membantu mangsa terjejas.

Muhammad Jafri Abdul Manaf, 40, menyumbang timbunan pakaian terpakai yang masih elok dengan sedikit kesan kotor bernilai kira-kira RM500,000 sebagai tanda prihatin dan simpati terhadap penduduk ditimpa musibah dua minggu lalu.

Pengusaha pakaian terpakai Muhammad Jafri Abdul Manaf

Beliau yang mengusahakan perniagaan `The Pickers Bundle’ lebih sedekad lalu berkata inisiatif itu diambil bagi meringankan beban ditanggung penduduk di kawasan terbabit yang hilang banyak harta benda sekali gus mengelak pembaziran.

“Daripada buang lebih baik sedekah sebab ramai mangsa tak sempat selamatkan pakaian semasa kejadian. Mereka boleh ambil percuma di depan kedai dan semuanya dalam keadaan baik, cuma kotor sebab banjir.

“Memang saya rugi besar, tetapi saya percaya aturan Allah. Dia akan mempermudahkan urusan jika kita ikhlas bantu orang lain,” katanya yang turut melelong pakaian tertentu serendah RM1.

Enggan menoleh ke belakang, bapa tiga anak itu juga menganggap tragedi pada 18 Disember lalu sebagai titik permulaan untuk bangkit semula dalam perniagaan berbekalkan doa dan dorongan keluarga serta kawan-kawan.

“Saya melihat apa perlu saya buat ke depan. Allah hantar banyak kebaikan, sebagai contoh ikatan kasih sayang antara adik-beradik, saudara mara dan kawan yang tidak putus-putus datang dari seluruh Malaysia bantu kami sekeluarga di sini.

“Memang saya rugi, Allah tarik sekejap nikmat dikecapi selama ini. Sekarang saya mula mengerti apa itu kasih sayang dan keikhlasan dalam bersahabat. Jadi, mereka menjadi penyuntik semangat saya untuk bangkit dalam perniagaan ini,” katanya sebak.

Pengusaha kedai alat ganti kereta, Lim.

Bagi pengusaha kedai alat ganti kereta yang hanya mahu disapa sebagai Lim, dia terpaksa menjual perkakas dalam premis tersebut dengan harga 20 peratus lebih murah berbanding pasaran bagi mengelak kerugian.

“Kejadian yang berlaku benar-benar menjejaskan perniagaan kami kerana banyak peralatan yang terkena air banjir.

“Semua peralatan seperti kompresor, gegelung penyejuk dan filter, kondenser masih dalam keadaan baik, namun kebanyakannya tiada kotak sebab terkena air banjir,” katanya yang menanggung anggaran kerugian RM100,000.


Pemilik kedai membersihkan alat ganti kenderaan yang kotor akibat banjir ketika tinjauan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada 1 Januari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pengarang :