Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Hazani Ghazali pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 5 Januari 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Polis tingkat rondaan, operasi pematuhan sempena Tahun Baharu Cina

KUALA LUMPUR, 23 JAN: Polis meningkatkan rondaan dan operasi pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) di seluruh negara terutama ketika sambutan Tahun Baharu Cina pada 1 Februari ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Hazani Ghazali berkata tindakan itu bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP PPN Fasa Empat yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Ini juga usaha kerajaan dalam mencegah penularan jangkitan Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Hazani, tindakan tegas akan dikenakan terhadap individu yang gagal mematuhi SOP di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (akta 324).

Rabu lepas, Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique mengumumkan SOP bagi sambutan Tahun Baharu Cina 2022 yang lebih longgar berbanding tahun lepas termasuk berkaitan kebenaran acara makan keluarga dan aktiviti ziarah.

Halimah berkata antara acara dibenarkan adalah makan keluarga pada 31 Januari, upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam pada 1 dan 2 Februari, sembahyang khas Hokkien Clan pada 8 dan 9 Februari serta aktiviti keagamaan di halaman rumah masing-masing pada waktu malam.

Turut dibenarkan adalah persembahan tarian singa, naga dan harimau yang tertakluk kepada SOP industri kreatif.

– BERNAMA


Pengarang :