Maritim Malaysia masih menjalankan operasi SAR untuk mengesan bot terbabit dan semua mangsa. Foto ihsan Maritim Malaysia
AGENDANASIONAL

14 pemancing, empat kru hilang bot dipercayai karam di Langkawi

ALOR SETAR, 26 FEB: Sebuah bot yang dipercayai membawa empat kru dan 14 pemancing hilang selepas bot dinaiki mereka disyaki karam di kedudukan 9.4 batu nautika barat Pulau Beras Basah dekat Langkawi hari ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata insiden itu dipercayai berlaku pada kira-kira 2 petang tadi.

“Kita telah menggerakkan aset iaitu KM Tenggol, Bot Perkasa 1225 dan Bot Penyelamat 5 bagi operasi mencari dan menyelamat sebaik menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Maklumat berhubung kejadian itu turut disalurkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Malaysia serta komuniti nelayan setempat,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sektor operasi telah diperluas daripada lima batu nautika hingga 10 batu nautika berikutan penemuan beberapa objek yang timbul di permukaan air seperti tong ikan, tin biskut dan gabus yang dipercayai milik bot terbabit.

“Penemuan barangan itu adalah pada jarak 4.8 batu nautika barat daya dari posisi akhir bot berkenaan dilaporkan hilang. Sehingga kini, pencarian masih dilakukan bagi mengesan bot berkenaan.

“Aset Maritim juga telah ditempatkan di sektor berkeluasan 10 batu nautika bersama aset agensi yang lain,” katanya.

— BERNAMA

 


Pengarang :