Petugas kesihatan bersedia untuk memberikan suntikan dos penggalak kepada penerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Covid-19 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada 15 Januari 2022. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Vaksin Covid-19: Segera rawat jika alami kesan sampingan berpanjangan

KUALA LUMPUR, 26 FEB: Penerima vaksin COVID-19 yang mengalami kesan sampingan serius atau berpanjangan dinasihat merujuk kepada fasiliti kesihatan berhampiran dan mendapatkan rawatan segera.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi akaun Twitter beliau hari ini memaklumkan rawatan segera terhadap kesan sampingan serius vaksin adalah penting agar kesan mudarat dapat dikurangkan dan laporan yang lengkap dapat diperoleh untuk siasatan.

Beliau berkata terdapat empat cara melaporkan kesan advers susulan imunisasi (AEFI) vaksin COVID-19 iaitu membuat laporan melalui aplikasi MySejahtera bagi mereka yang menghadapi kesan tidak serius.

Selain itu, laporan boleh dibuat secara dalam talian di laman sesawang Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) atau mengisi secara manual borang yang dicetak daripada laman sesawang NPRA dan dihantar melalui e-mel atau pos ke NPRA.

Katanya bagi AEFI serius, laporan hendaklah dibuat melalui anggota kesihatan yang merawat kes itu melalui laman sesawang NPRA atau Pharmacy Information System (PhIS) bagi fasiliti Kementerian Kesihatan.

— BERNAMA

 


Pengarang :