EXCO Pertanian Ir Izham Hashim melawat gerai pada Program Jualan Prihatin Rakyat di Balai Rakyat Taman Berjaya, Sabak Bernam pada 27 Februari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Empat barang keperluan harian dijual murah menjelang Aidilfitri

SABAK BERNAM, 27 FEB: Kerajaan Negeri akan menjual empat barang keperluan harian iaitu ayam, telur, daging dan ikan pada harga murah mulai hari ini hingga menjelang Aidilfitri menerusi program jualan prihatin rakyat.

Program pada setiap Sabtu dan Ahad secara berkala di seluruh negeri adalah susulan program intervensi harga makanan ehsan yang dilancar Dato’ Menteri Besar awal bulan ini.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata sebanyak 62 lokasi sudah dikenal pasti bagi tujuan berkenaan iaitu 24 di bawah Selangor Agro Market manakala selebihnya di bawah Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

“Kita sasar sebanyak 10,000 ayam, 3,100 kilogram (kg) daging segar, 6,200kg ikan kembung dan selayang serta 315,000 biji telur gred B dijual sepanjang program ini.

“Lokasi program sudah dikenal pasti dan mungkin ada pertambahan berdasarkan cadangan wakil rakyat. Buat masa ini, keprihatinan Kerajaan Negeri adalah membantu rakyat membeli  barang keperluan pada harga rendah,” katanya selepas merasmikan program jualan prihatin rakyat di Balai Rakyat Taman Berjaya di sini hari ini.

Izham berkata pihaknya sedia menambah beberapa barangan lain tetapi hanya akan dilaksanakan dalam tempoh sebulan lagi, selepas menerima maklum balas orang ramai berhubung program tersebut.

“Jika selepas tempoh itu, kita lihat perlu ada barangan lain dimasukkan dalam senarai, kita akan pertimbangkan terutama minyak masak tetapi perlu melihat kaedah pelaksanaannya terlebih dahulu,” katanya.

Berikut harga barangan di program jualan prihatin rakyat:

Ayam standard: RM12 seekor

Telur gred B: RM10 sepapan

Daging pejal segar: RM35 sekilogram

Ikan kembung/selayang (Q-Fish): RM8 satu pek


Pengarang :